TNB, PKNS kendali Sistem Penyejukan Daerah di Shah Alam

TNB, PKNS kendali Sistem Penyejukan Daerah di Shah Alam

TNB dan PKNS menjalinkan kerjasama strategik untuk membangunkan dan mengendalikan Sistem Penyejukan Daerah di Seksyen 14, Shah Alam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYAS: Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalinkan kerjasama strategik untuk membangunkan dan mengendalikan Sistem Penyejukan Daerah di Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.

Kerjasama ini dilaksanakan melalui melalui anak syarikat masing-masing iaitu TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC) dan PKNS FM Integrated Sdn. Bhd. (PFMI).

Kerjasama ini menggabungkan kepakaran kejuruteraan dan kemampuan infrastruktur tenaga TNB melalui TNEC, dengan pemilikan aset dan portfolio pembangunan bandar PKNS menjadikan projek ini sebagai pemangkin utama untuk penjanaan semula bandar yang lestari dan cekap tenaga di Selangor.

Melalui projek ini, air sejuk yang dihasilkan dari loji penyejukan berpusat akan dibekalkan kepada bangunan yang dimiliki atau diuruskan oleh PKNS dan syarikat sekutunya serta kepada penyewa dan pengendali dalam kawasan pembangunan yang ditetapkan. 

Kawasan utama termasuk Plaza Perangsang, Plaza Alam Sentral, SA Sentral, SACC Mall, ibu pejabat PKNS dan Kompleks PKNS Shah Alam. 

Projek ini juga direka untuk menyokong pembangunan masa hadapan dalam kawasan tersebut, termasuk SA Sentral, projek mercu tanda transformasi yang dirancang untuk menjadikan Shah Alam sebagai hab perniagaan utama di Selangor.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen berterusan TNB dalam menyediakan penyelesaian tenaga inovatif yang menyokong pertumbuhan bandar yang lestari.

“Melalui kerjasama strategik ini, kami mendorong kecekapan tenaga yang lebih tinggi, mengurangkan jejak karbon dan menyumbang kepada pembentukan bandar pintar yang sedia untuk masa depan. 

“Dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan TNB dengan portfolio pembangunan bandar yang kukuh oleh PKNS, kami berhasrat menetapkan penanda aras baharu untuk infrastruktur bersepadu yang memberi nilai jangka panjang kepada komuniti, perniagaan dan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, inisiatif itu selaras dengan penekanan Kerajaan Selangor dalam menyediakan penyelesaian infrastruktur yang lestari, cekap dan bersedia untuk masa depan bagi kawasan bandar berpenduduk tinggi.

Katanya, ini mengukuhkan strategi jangka panjang PKNS untuk meningkatkan nilai aset melalui penggunaan teknologi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Melalui TNEC, TNB menyumbangkan kepakaran kejuruteraan yang luas dan pengalaman dalam penyelesaian tenaga berskala besar untuk menyokong pembangunan infrastruktur penyejukan yang boleh dipercayai, cekap dan berdaya tahan. 

“Kerjasama ini menekankan komitmen berterusan TNB untuk memajukan pembangunan bandar lestari dan menyokong peralihan Selangor ke bandar hijau dan rendah karbon,” katanya. 

Dokumen yang merasmikan kerjasama strategik ini telah ditandatangani oleh Pengarah Urusan TNEC, Ahmad Nizam Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif PFMI, Shamshul Bahari Ahmad.

Majlis itu turut disaksikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bagi Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Ir. Izham Hashim, Pengerusi TNEC, Ir. Mahathir Nor Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN