PETALING JAYA: Teamstar Berhad (Teamstar) memulakan langkah sulung di Bursa Malaysia dengan penyenaraian 800 juta saham biasa di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad sekali gus merekodkan permodalan pasaran indikatif sebanyak RM208 juta.
Menerusi tawaran awam permulaan (IPO) tersebut, kumpulan berjaya meraih dana sebanyak RM34.32 juta pada harga 26 sen sesaham.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM23.21 juta (67.63 peratus) diperuntukkan bagi pembukaan cawangan runcit dan gudang baharu, manakala RM4.65 juta (13.54 peratus) untuk keperluan modal kerja.
Baki selebihnya akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank (RM1.46 juta) dan kos penyenaraian (RM5.00 juta).
Kumpulan yang terlibat dalam peruncitan kelengkapan perabot dan perkakasan rumah ini menunjukkan trajektori pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat daripada RM91.31 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 kepada RM136.51 juta pada FYE 2025 (tidak diaudit).
Naib Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Teamstar, Tan Lee Kueng berkata, penyenaraian ini membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang pertumbuhan besar dalam industri pembaikan rumah di Malaysia.
“Sejak penubuhan cawangan pertama pada 2008, kami kini mengendalikan 28 cawangan runcit ‘Teamstar’ dan satu cawangan ‘Benova’ di seluruh Semenanjung Malaysia.
“Kami berhasrat untuk memperkukuh kedudukan pasaran dengan menambah 10 lagi cawangan runcit baharu, khususnya di Johor, Kedah, Pulau Pinang, serta Sabah dan Sarawak yang menandakan kemasukan sulung kami ke Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, setakat 31 Disember 2025, kumpulan menawarkan kira-kira 27,800 unit simpanan stok (SKU) yang merangkumi pelbagai segmen pelanggan termasuk pereka dalaman, tukang kayu, kontraktor dan pengilang perabot.
“Melangkah ke hadapan, prospek industri pembaikan rumah di Malaysia kekal positif dan diunjur berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan komposit (CAGR) sebanyak 4.4 peratus untuk mencecah RM59.19 bilion menjelang 2029.
“Pertumbuhan ini disokong oleh pasaran hartanah yang aktif serta peningkatan kesedaran gaya hidup dalam kalangan isi rumah Malaysia yang mendorong keputusan pembelian kelengkapan dan bahan hiasan rumah,” katanya.
Untuk rekod, keuntungan selepas cukai (PAT) Teamstar turut mencatatkan kenaikan daripada RM9.90 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 kepada RM15.02 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, mencerminkan pertumbuhan mampan kumpulan sebelum melangkah ke pasaran saham.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi pelaksanaan IPO ini.-UTUSAN










