KUALA LUMPUR: Tuah menabung dari usia 12 tahun, seorang pelajar tingkatan dua kini bergelar pemilik kereta mewah BMW 5 Series menerusi Kempen Sijil Simpanan Premium (SSP) 2026 anjuran Bank Simpanan Nasional (BSN).
Che Thaqif Dzakwan Che Mazlan, 14, diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Cabutan Simpanan Konsisten menerusi pelaksanaan kempen tersebut bagi Disember 2025.
Bapanya, Che Mazlan Che Jaafar berkata, beliau menerapkan disiplin dan memulakan tabungan demi pendidikan anaknya sejak 2024.
Ujarnya, kemenangan tersebut dianggap sebagai bonus besar buat keluarga mereka, memandangkan fokus utama hanyalah mendidik anak menyimpan secara konsisten.
“Kita tumpang gembira bagi pihak anak. Fokus utama kami adalah untuk memupuk tabiat menyimpan secara berdisiplin.
“Thaqif mula menyimpan sejak 2024 dan konsistensi inilah yang melayakkannya secara automatik untuk menyertai cabutan kategori tersebut,” katanya dalam sesi temu bual bersama pemenang cabutan BSN SSP BMW 5 Series di sini, hari ini.
Susulan kejayaan itu, BSN terus memperkasakan budaya menabung rakyat Malaysia dengan melancarkan Kempen BSN SSP 2026 yang menawarkan nilai ganjaran keseluruhan mencecah RM28 juta.
Kempen tersebut membuka peluang kepada lebih 15,900 pemenang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat, dari pelajar, penjawat awam, sehinggalah warga emas.
Menurut BSN, bagi kategori Simpanan Konsisten yang dimenangi Che Thaqif, penyimpan hanya perlu mengekalkan simpanan minimum RM500 selama tiga bulan berturut-turut untuk berpeluang memenangi kereta mewah jenama BMW dan Mercedes-Benz.
“Setahun terdapat empat kali cabutan bagi kategori konsisten ini. Contohnya, untuk layak cabutan Mac, penyimpan mesti mempunyai baki minimum RM500 setiap bulan dari Januari hingga Mac. Lebih banyak simpanan, lebih tinggi peluang menang,” katanya.
Selain itu, terdapat pelbagai lagi kategori cabutan dan hadiah bagi Kempen BSN SSP tahun ini termasuk kategori Cabutan Jutawan yang bakal menyaksikan seorang pemenang membawa pulang RM1 juta setiap bulan dari Januari hingga November.
Kemuncaknya adalah pada Disember menerusi Hadiah Bonanza yang menawarkan RM1 juta beserta sebuah kereta mewah Porsche Macan.
Untuk melayakkan diri bagi kategori itu, penyimpan hanya perlu mengekalkan simpanan minimum RM3,000 dengan tempoh simpanan sekurang-kurangnya 60 hari.
Orang ramai yang ingin menyertai kempen tersebut boleh membuat simpanan minimum bermula serendah RM10 di mana-mana cawangan BSN, mesin deposit tunai, atau melalui perbankan internet myBSN serta berumur 12 tahun dan ke atas. – UTUSAN









