Sime Darby raih untung bersih RM431 juta pada suku kedua - Utusan Malaysia

Sime Darby raih untung bersih RM431 juta pada suku kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Berhad (Sime) mencatatkan untung bersih berjumlah RM431 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2025 iaitu 41.3 peratus lebih tinggi berbanding RM305 juta pada suku sama tahun lepas.

Hasil kumpulan bagi suku tahun yang dilaporkan meningkat sebanyak tujuh peratus kepada RM19 bilion, berbanding RM17.7 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.

Sime juga mengumumkan dividen interim 3.0 sen sesaham bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (TK2026).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, peningkatan untung bersih teras sebanyak RM100 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas membuahkan hasil daripada segala usaha yang dilakukan walaupun di dalam persekitaran mencabar.

“Walaupun bahagian Perindustrian berdepan dengan beberapa tekanan, ketahanan bahagian automotif kami serta sumbangan kukuh yang berterusan daripada Sime UMW telah membantu mengekalkan prestasi keseluruhan.

“Kami terus memberi tumpuan kepada pengukuhan lembaran imbangan, penjanaan aliran tunai yang mampan serta pengurangan hutang.

“Hasilnya, kos pembiayaan telah berkurang dengan ketara sebanyak hampir RM100 juta pada enam bulan pertama tahun kewangan ini.

“Kami akan terus mengutamakan disiplin kewangan sambil menggandakan usaha untuk mengekalkan bahagian pasaran, walaupun menghadapi persaingan sengit,” katanya dalam kenyataan.

Pada suku tahun yang dilaporkan, bahagian automotif mencatatkan untung sebelum faedah dan cukai (PBIT) berjumlah RM209 juta, iaitu peningkatan sebanyak 77.1 peratus berbanding suku tahun sama tahun sebelumnya.

Peningkatan prestasi itu dipacu oleh keuntungan yang lebih kukuh daripada operasi Asia bahagian ini, terutamanya dari perniagaan China serta peningkatan hasil daripada aktiviti pemasangan di Malaysia.

Singapura juga mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi, hasil daripada lonjakan jualan kenderaan pada suku tahun yang dilaporkan.

Sementara itu, bagi bahagian Perindustrian, PBIT menyusut sebanyak 11 peratus kepada RM300 juta pada suku tahun semasa, terutamanya disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada operasi bahagian di Australasia dan Malaysia.

Penurunan di Australasia adalah disebabkan oleh keuntungan yang lebih rendah daripada perniagaan sokongan produk.

Bahagian UMW pula mencatatkan PBIT sebanyak RM269 juta, penurunan kecil berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Keuntungan daripada perniagaan automotif menurun sedikit, dipengaruhi oleh jualan alat ganti yang lebih rendah serta perbelanjaan operasi lebih tinggi.

Dalam pada itu, bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2026, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM786 juta, berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun kewangan sebelumnya.

Pencapaian itu didorong setelah mendapat manfaat hasil pelupusan tanah di Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

Tanpa mengambil kira keuntungan sekali tersebut pada tahun kewangan 2025, untung bersih teras bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 meningkat kepada RM766 juta berbanding RM664 juta bagi tempoh yang sama tahun kewangan lepas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN