SUBANG: The Skinny Bakers kini memperoleh semula pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada Disember tahun lalu, sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran.
Pengasas Bersama Skinny Bakers Group Sdn. Bhd., Rogaya Ahmad berkata, The Skinny Bakers sebelum ini pernah memiliki sijil halal, namun perlu melalui proses permohonan semula selepas berpindah ke fasiliti baharu.
“Apabila bertukar lokasi operasi, pensijilan halal tidak boleh sekadar diperbaharui, sebaliknya perlu dibuat semula. Prosesnya memang mencabar, tetapi hasilnya sangat berbaloi.
“Alhamdulillah, kami memperoleh semula pensijilan halal daripada Jakim kira-kira tiga bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, peroleh semula sijil itu menjadi pemangkin penting kepada jenama The Skinny Bakers bagi memenuhi keperluan pelanggan korporat yang semakin menitikberatkan aspek pematuhan dan standard kualiti.
“Pemilikan sijil halal memberi kelebihan penting terutama dalam menarik keyakinan pengguna serta memenuhi syarat rakan niaga korporat.
“Pensijilan halal merangkumi aspek yang lebih menyeluruh, bukan sekadar bahan mentah semata-mata.
“Ramai melihat halal hanya dari sudut ramuan, tetapi sebenarnya ia melibatkan keseluruhan ekosistem perniagaan termasuk kebersihan, pengendalian, proses pengeluaran dan sistem jaminan kualiti.
“Pensijilan ini juga memastikan standard operasi berada pada tahap terbaik dan secara tidak langsung meningkatkan kepercayaan pelanggan,” ujarnya.
Beliau berkata, kelebihan sijil halal amat ketara dalam segmen perniagaan ke perniagaan (B2B), khususnya melibatkan pelanggan korporat dan industri hospitaliti.
“Ada syarikat besar yang menjadikan halal sebagai syarat utama. Tanpa pensijilan ini, peluang kerjasama mungkin terhad,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rogaya berkata, The Skinny Bakers kini memberi fokus kepada strategi pertumbuhan baharu dengan sasaran memperkukuh kehadiran dalam pasaran premium pada tahun ini.
“Kami sedang meneliti peluang untuk menembusi rangkaian pasar raya seperti Village Grocer dan Jaya Grocer. Produk kami berada dalam segmen premium, jadi pemilihan saluran pengedaran sangat penting.
“Selain itu, kami turut memberi tumpuan kepada pasaran eksport dengan menyasarkan Qatar, China dan United Kingdom (UK) dalam masa terdekat,” katanya.
Menurut beliau, pensijilan halal dilihat sebagai elemen kritikal dalam menyokong agenda pengembangan antarabangsa syarikat.
“Halal bukan sahaja relevan di Malaysia, tetapi menjadi nilai tambah di pasaran global. Ia memudahkan penerimaan produk serta meningkatkan kredibiliti jenama,” katanya.
Jenama itu turut menawarkan khidmat penyediaan biskut bersijil halal bagi tujuan hadiah korporat, selain boleh menjadi rakan kongsi pembuatan biskut melalui model Pengeluar Peralatan Asal (OEM) miliknya. – UTUSAN










