PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan pelantikan Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Beliau menggantikan Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan yang menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2026 selepas berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sejak Mac 2024.
TNB berkata, Shamsul kini menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pihak Berkepentingan TNB, di mana beliau memainkan peranan penting dalam membentuk landskap kawal selia industri serta memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan bagi menyokong aspirasi jangka panjang TNB.
“Dengan pengalaman lebih 37 tahun berkhidmat di TNB, beliau membawa kepimpinan luas merangkumi pelbagai portfolio.
“Sebelum pelantikan ini, beliau merupakan Pengarah Urusan TNB Fuel Sdn. Bhd. dan sebelum itu menerajui TNB Janamanjung Sdn. Bhd. selama sedekad.
“Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Mekanikal dari North Carolina A&T State University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tenaga Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Ir. Megat Jalaluddin atas kepimpinan dan sumbangan beliau dalam memperkukuh kecemerlangan operasi, daya tahan kewangan serta penciptaan nilai jangka panjang TNB.
“Di bawah teraju beliau, TNB memperkukuh asas terasnya di samping mempercepat agenda Peralihan Tenaga bagi menyokong aspirasi sifar bersih Malaysia menjelang tahun 2050.
“Lembaga Pengarah turut mengucapkan tahniah kepada Shamsul atas pelantikan dan yakin pengetahuan institusi yang mendalam, kepakaran kawal selia serta pengalaman operasi beliau akan memastikan kesinambungan, memacu transformasi dan terus mengukuhkan peranan TNB sebagai juara tenaga nasional Malaysia serta penyedia utama penyelesaian tenaga lestari di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










