PETALING JAYA: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan pelantikan LC Wakaful Digital Sdn. Bhd. (LCWD) sebagai pengendali platform Bursa Sosial pertama di Malaysia.
Bursa Sosial merupakan inisiatif utama di bawah Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP) yang baharu, direka untuk memperluas akses dan penyertaan pasaran dalam pembiayaan impak sosial.
Platform Bursa Sosial akan menyediakan saluran yang berstruktur dan telus untuk pertubuhan bukan berasaskan keuntungan (NPO) mengumpul derma bagi projek sosial yang layak, di samping membolehkan penderma mendapat keterlihatan yang lebih jelas terhadap penggunaan dana serta impak projek yang dilaksanakan.
Inisiatif ini selaras dengan pendekatan seluruh negara di bawah CMP 2026–2030 yang menekankan kerjasama bagi mengekalkan daya tahan ekonomi negara.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, pelantikan pengendali platform Bursa Sosial ini menandakan langkah penting ke arah mewujudkan platform berasaskan pasaran yang telus dan ditadbir urus dengan baik untuk pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.
“Dengan Bursa Sosial, kita memperkukuh dan menginstitusikan kepercayaan dalam kewangan sosial.
“Kita menyediakan saluran berstruktur untuk pertubuhan bukan berasaskan keuntungan memperluas impak mereka, sambil memberi ketelusan dan keyakinan kepada penderma untuk turut serta dalam perjalanan pembangunan mampan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, pelantikan pengendali ini merupakan satu pencapaian penting dalam merealisasikan pelaksanaan Bursa Sosial.
“Ia menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mei 2024 mengenai pengenalan inisiatif Bursa Sosial serta kejayaan pelaksanaan Program Rintis Bursa Sosial oleh SC pada separuh pertama 2025,” katanya.
Garis Panduan Platform Bursa Sosial (Garis Panduan) yang memperincikan keperluan kawal selia bagi pengendali dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan telah diterbitkan pada 19 September 2025.
Jelas Mohammad Faiz, permohonan pendaftaran sebagai pengendali Platform Bursa Sosial dibuka pada tarikh yang sama.
“Ini termasuk kriteria kelayakan serta kewajipan pendedahan dan pelaporan yang bertujuan memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan dalam sektor ketiga Malaysia.
“Sebagai pengendali, LCWD didaftarkan di bawah seksyen 76A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
“Syarikat tersebut akan bertanggungjawab menubuhkan dan mengendalikan Platform Bursa Sosial pertama Malaysia, iaitu Impakrintas serta membawa masuk pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang layak selaras dengan keperluan yang ditetapkan dalam Garis Panduan,” katanya.
Dengan pelantikan LCWD sebagai pengendali Platform Bursa Sosial bagi tahun pertama Fasa 1, SC akan menilai secara rapi tahap penyertaan pasaran, pembangunan platform yang teratur dan berdaya maju, serta tahap kesiapsiagaan pasaran secara keseluruhan sebelum mempertimbangkan peluasan kepada pengendali lain.
Fasa awal ini yang menyasarkan pelancaran rasmi (Go-Live) pada 19 Februari 2026 akan membolehkan platform tersebut memudah cara derma tunai secara langsung daripada penderma kepada pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang diluluskan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Dalam fasa seterusnya, skop Bursa Sosial akan diperluas bagi meningkatkan penyertaan dan merangkumi instrumen pasaran modal.
Selepas Impakrintas dilancarkan, sebagai permulaan, enam pertubuhan bukan berasaskan keuntungan dijangka akan disenaraikan di platform tersebut dengan pelbagai projek impak sosial, termasuk akses saksama kepada penjagaan kesihatan, program intervensi awal untuk belia berkaitan pendidikan kesihatan seksual dan reproduktif, keselamatan makanan, peluang pekerjaan inklusif serta kelestarian alam sekitar.
Derma yang dibuat melalui Bursa Sosial layak menerima layanan cukai yang setara di bawah subseksyen 44(6) dan perenggan 13(1) Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967, yang memberi manfaat kepada pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang mengumpul dana serta penderma yang menyokong projek impak sosial yang disenaraikan di Impakrintas. – UTUSAN










