RUU Sewaan Kediaman akan dibentang di Parlimen tahun ini - Utusan Malaysia

RUU Sewaan Kediaman akan dibentang di Parlimen tahun ini

NGA Kor Ming berucap ketika sesi dialog Reformasi Perumahan: Meningkatkan Kualiti Kehidupan, Pemilikan dan Kecekapan Kawal Selia pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Sewaan Kediaman dijangka dibentangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Dewan Rakyat pada tahun ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya dalam peringkat akhir pelaksanaan kajian membabitkan RUU berkenaan dan beliau sendiri akan meneliti setiap fasa sebelum mengemukakannya kepada Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan.

“Kita berharap apabila Jemaah Menteri telah mencapai kata sepakat, (RUU) dapat diluluskan di Dewan Rakyat dalam tahun ini juga untuk menjamin hak penyewa dan pemilik rumah. Ini adalah keseimbangan yang sedang cuba kita gerakkan ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panelis dalam sesi bertajuk Reformasi Perumahan: Meningkatkan Kualiti Kehidupan, Pemilikan dan Kecekapan Kawal Selia  bersempena Forum Ekonomi Malaysia 2026 (FEM 2026) di sini, hari ini.

Mengulas pertanyaan sama ada kerajaan akan memperkenalkan insentif kepada pemaju bagi menggalakkan pelaksanaan skim bina dan jual (BTS), Kor Ming berkata, kerajaan perlu memastikan tiada projek perumahan yang tergendala, selain menawarkan laluan kelulusan pantas kepada pemaju yang melaksanakan kaedah berkenaan.

“Jika pemaju melaksanakan BTS, mereka akan mendapat kelulusan yang pantas. Kita pernah ada rekod meluluskan permohonan kebenaran merancang dalam tempoh 30 hari. 

“Dalam masa sebulan, semua pelan diluluskan. Ini akan menjimatkan kos pinjaman, faedah bank dan lain-lain kos kewangan,” katanya.

Beliau berkata, sektor hartanah juga adalah tiang seri ekonomi negara kerana membabitkan kira-kira 200 industri berkaitan yang menyokong kehidupan harian rakyat.

Susulan itu jelasnya, pihak kementerian kini sedang memantau perkembangan sektor berkenaan secara masa nyata setiap hari bagi memastikan pertumbuhannya kekal sihat tanpa menjadi terlalu perlahan atau bersifat spekulatif.

“Setakat ini, kita bersyukur dalam tempoh empat tahun ini sektor hartanah negara berkembang secara sihat. Ia tidak berada dalam keadaan kritikal.

“Sebanyak 1,333 projek sakit dan terbengkalai telah berjaya dipulihkan, sekali gus membantu merancakkan semula pasaran,” katanya.

Tambahnya, jumlah jualan sektor hartanah negara meningkat daripada RM190 bilion kepada RM232 bilion, dan beliau yakin trend pertumbuhan itu dapat dikekalkan.

Katanya, perkembangan positif itu berupaya menjana lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan pendapatan rakyat, selain memastikan nilai hartanah terus meningkat sebagai satu bentuk pemeliharaan dan penciptaan kekayaan.

“Kita perlu pastikan nilai sektor hartanah terus meningkat. Hartanah bukan sekadar soal mampu milik, tetapi juga instrumen pemeliharaan dan penciptaan kekayaan.

“Kita mesti melihat kedua-dua sisi secara adil dan seimbang. Setakat ini, sektor hartanah kita berada pada landasan sihat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN