Ringgit dijangka terus kukuh di sebalik ketidaktentuan sentimen pasaran - Utusan Malaysia

Ringgit dijangka terus kukuh di sebalik ketidaktentuan sentimen pasaran

mata wang tempatan terus menunjukkan prestasi positif walaupun berdepan ketidaktentuan pasaran global. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus mengukuh minggu ini, walaupun berdepan dengan sentimen dan persepsi pasaran yang tidak menentu dalam sistem tadbir urus global susulan pendedah fail berkaitan kes Jeffrey Epstein.

Pada pukul 5 petang semalam, mata wang negara ditutup rendah pada 3.9410/9450berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 3.9270/9320 pada Rabu.

Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pergerakan ringgit kini banyak dipengaruhi oleh sentimen dan persepsi pasaran dan perkara yang sama turut berlaku kepada dolar AS.

“Jika kita melihat kepada laporan Epstein yang menggegarkan dunia, pelbagai isu dan teori timbul, termasuk yang dikaitkan dengan kepimpinan global dan peristiwa seperti MH370.

“Semua ini mencerminkan bahawa keyakinan terhadap sistem tadbir urus dunia semakin rapuh.
Namun, faktor ini hanyalah gangguan jangka pendek kepada pasaran dan tidak memberi kesan jangka panjang terhadap ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tambahnya, penurunan harga emas sebelum ini pula dilihat bertentangan dengan teori Epstein, kerana secara teori emas dianggap sebagai aset perlindungan terakhir apabila keyakinan terhadap sistem kewangan terhakis.

“Sepatutnya, pelabur beralih kepada emas. Tetapi hakikatnya, harga emas turut menurun. Ini menimbulkan persoalan terhadap kebebasan pasaran, seolah-olah harga ditentukan oleh segelintir pihak sahaja.

“Situasi ini tidak akan menjejaskan ringgit secara langsung, namun ia memberi kesan kepada sentimen dan boleh mencetuskan kesan domino dalam pasaran kewangan.

“Secara keseluruhan, saya berpendapat ringgit masih berpotensi untuk mengukuh. Menjelang hari Jumaat, kita akan memperoleh gambaran yang lebih jelas mengenai harga sebenar emas,” ujarnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dilihat terus mengukuh berbanding dolar AS dan juga dgn mata wang lain seperti dolar Singapura.

Katanya, data seperti Indeks Pengurus Pembelian (PMI) bagi Malaysia meningkat ke paras 50.2 mata bagi tempoh Januari 2026 menunjukkan bahawa sentimen dalam kalangan firma-firma di Malaysia semakin mengukuh.

“Justeru, prospek pertumbuhan ekonomi serta Kadar Dasar Semalaman (OPR) bagi 2026 dijangka stabil. Perkara ini dijangka akan terus menyokong nilai ringgit pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata, pengukuhan ringgit memberi manfaat kepada sektor automotif tempatan dengan menjadikan alat ganti import lebih murah, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran secara langsung dan meningkatkan margin keuntungan.

Ujarnya, keadaan boleh memberi ruang kepada pengeluar untuk mengekalkan harga pada paras sedia ada walaupun berdepan tekanan inflasi di tempat lain.

“Tahun ini, persekitaran operasi dijangka dipengaruhi oleh pengukuhan ringgit, yang sepatutnya memberi manfaat kepada sektor automotif Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Bank pelaburan itu berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan penurunan jumlah volum industri (TIV) Malaysia pada 2026 kepada sekitar 790,000 unit, susut 3.8 peratus tahun ke tahun berbanding 2025.

Katanya, penurunan ini didorong oleh peningkatan kos sara hidup, kuasa beli yang semakin lemah, serta tamatnya pengecualian cukai bagi kenderaan elektrik (EV) import sepenuhnya (CBU).

“Walaupun jenama nasional pasaran massa seperti Proton dan Perodua dijangka kekal berdaya tahan, segmen bukan nasional berdepan cabaran daripada keyakinan pengguna yang melemah, potensi perubahan duti eksais serta peralihan pasaran ke arah jenama China yang ditawarkan pada harga lebih kompetitif.

“Selain meraih bahagian pasaran dan meningkatkan persaingan, pengeluar kenderaan China turut membentuk semula jangkaan pengguna dengan menawarkan teknologi canggih pada harga yang lebih mampu milik.

“Dinamik ini menekan margin keuntungan dan mengehadkan pertumbuhan pendapatan di seluruh sektor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN