Pertumbuhan ekonomi 5.2%

Pertumbuhan ekonomi 5.2%, daya tahan negara di tengah cabaran global

PRESTASI ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2026 mencerminkan ekonomi yang kekal berdaya tahan secara asasnya, meskipun berdepan ketidaktentuan global yang semakin meningkat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 5.2 peratus pada 2025  menunjukkan keberkesanan langkah-langkah dasar yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh asas ekonomi domestik dan mengekalkan keyakinan pelabur serta perniagaan tempatan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, antara dasar utama yang menyokong prestasi ini ialah konsolidasi fiskal, yang melibatkan rasionalisasi subsidi bahan api, pengenalan cukai baharu dan pengembangan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). 

“Langkah-langkah ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan kerajaan tetapi juga membantu memperkukuh struktur fiskal negara, sekali gus mewujudkan persekitaran ekonomi yang lebih mampan dan menarik minat pelabur tempatan dan asing,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, penjimatan yang dicapai melalui konsolidasi fiskal telah membolehkan kerajaan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat melalui program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bagi meringankan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Selain itu, sektor-sektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan termasuk perkhidmatan, pembuatan dan eksport komoditi utama. Sektor perkhidmatan terus menunjukkan ketahanan dengan peningkatan permintaan domestik dan pelaburan asing yang stabil. 

“Pembuatan pula mendapat manfaat daripada pengembangan pasaran eksport dan peningkatan produktiviti, manakala sektor eksport komoditi utama seperti minyak sawit, petroleum, dan elektronik terus menyumbang kepada lebihan perdagangan negara,’” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada 2025, melebihi pencapaian 5.1 peratus pada tahun 2024. 

Prestasi tersebut disokong oleh KDNK yang berkembang 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025 berbanding 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, pertumbuhan tertinggi sejak suku tahun keempat 2022 yang direkodkan sebanyak 7.4 peratus.

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan, Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das berkata, Malaysia dijangka terus mencatat pertumbuhan pada 2026, namun pada kadar yang lebih sederhana dan mampan berbanding pengembangan kukuh yang direkodkan pada penghujung 2025.

“Ekonomi negara tidak menuju ke arah kemelesetan, tetapi pertumbuhan melebihi enam peratus sukar untuk dikekalkan dalam tempoh yang panjang. 

“Tahun 2026 dilihat sebagai fasa konsolidasi stabil berbanding lonjakan pesat, dengan momentum pertumbuhan lebih terdedah kepada risiko luaran serta perkembangan ekonomi global,” katanya.

Selain itu, jelasnya, permintaan domestik dijangka terus menjadi pemacu utama sekiranya keadaan pasaran buruh kekal stabil dan inflasi terkawal. 

“Walau bagaimanapun, perbelanjaan isi rumah dijangka kembali normal dan tidak lagi berkembang pada kadar luar biasa seperti sebelum ini,” katanya. 

Selain itu, Paul berkata, kestabilan pekerjaan dan kawalan harga menjadi faktor penting bagi memastikan permintaan domestik kekal mampan.

“Dari sudut pelaburan, aktiviti dalam sektor pusat data, elektrik dan elektronik (E&E) serta infrastruktur terus menyumbang kepada pertumbuhan.Pelaburan dalam mesin, automasi dan ekosistem E&E dilihat memperkukuh kapasiti produktif masa depan negara.

“Namun, fasa pengembangan pantas dijangka beransur reda apabila projek-projek besar beralih daripada peringkat pelancaran kepada pelaksanaan dan penyiapan,” katanya. 

Jelasnya, momentum pelaburan juga bergantung kepada aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berterusan, kestabilan permintaan teknologi global serta pelaksanaan dasar yang konsisten.

“Jika faktor-faktor ini kekal kukuh, pertumbuhan boleh dikekalkan pada tahap stabil sepanjang 2026. Sebaliknya, sebarang gangguan berpotensi memperlahankan momentum semasa,” katanya.

Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh, namun kesinambungan pertumbuhan memerlukan pengurusan dasar yang berdisiplin serta daya tahan terhadap kejutan luaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN