PETALING JAYA: Permintaan buruh Malaysia mencatatkan pertumbuhan tertinggi sejak suku pertama 2024 apabila meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun kepada 9.21 juta jawatan pada suku keempat 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, perkembangan itu mencerminkan pertumbuhan berterusan pasaran buruh, disokong langkah fiskal komprehensif kerajaan bagi merangsang aktiviti ekonomi melalui pelbagai inisiatif dasar.
“Daripada jumlah keseluruhan jawatan yang direkodkan, 97.8 peratus atau 9.02 juta adalah jawatan diisi, manakala 2.2 peratus bersamaan 198,100 merupakan kekosongan jawatan. Selain itu, sebanyak 32,100 jawatan baharu diwujudkan pada suku tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, bilangan jawatan diisi meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun daripada 8.86 juta kepada 9.02 juta iaitu paras tertinggi direkodkan setakat ini, dengan semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif, didahului sektor perkhidmatan pada kadar 2.6 peratus.
“Sektor perkhidmatan mendominasi jawatan diisi dengan sumbangan 53.1 peratus atau 4.80 juta jawatan, diikuti sektor pembuatan sebanyak 26.9 peratus bersamaan 2.42 juta dan pembinaan 13.9 peratus iaitu 1.25 juta jawatan.
“Mengikut kategori kemahiran, separuh mahir menjadi penyumbang terbesar dengan 62.3 peratus atau 5.62 juta jawatan, diikuti kategori mahir 25.3 peratus (2.27 juta) dan berkemahiran rendah 12.4 peratus (1.12 juta),” katanya.
Mengulas prestasi kekosongan jawatan, Mohd. Uzir berkata, jumlah kekosongan meningkat 2.4 peratus atau tambahan 4,600 kepada 198,100 berbanding 193,600 pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Menurut beliau, sektor pembuatan merekodkan kekosongan tertinggi sebanyak 115,800 atau 58.4 peratus, terutamanya dalam subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal sebanyak 35,700 serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 20,500.
“Sektor pertanian dan perkhidmatan masing-masing mencatatkan 32,000 atau 16.2 peratus dan 25,000 atau 12.6 peratus kekosongan. Dari segi kemahiran, lebih separuh kekosongan adalah dalam kategori separuh mahir iaitu 56.2 peratus bersamaan 111,300,” katanya.
Beliau berkata, bagi pewujudan jawatan pula, sebanyak 32,100 jawatan baharu direkodkan dengan pertumbuhan 2.2 peratus tahun ke tahun berbanding 31,500 pada suku keempat 2024.
“Sektor perkhidmatan mendominasi pewujudan jawatan dengan 15,400 atau 47.9 peratus, khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit sebanyak 9,300 jawatan baharu. Sektor pembuatan dan pembinaan masing masing mewujudkan 12,100 dan 3,100 jawatan.
“Majoriti jawatan baharu adalah dalam kategori separuh mahir sebanyak 64.5 peratus atau 20,700, diikuti kategori mahir 25.1 peratus (8,100) dan berkemahiran rendah 10.4 peratus (3,400),” katanya.
Tambah beliau, secara keseluruhan bagi tahun 2025, jumlah pewujudan jawatan meningkat 1.8 peratus kepada 129,600 berbanding 127,200 pada 2024.
“Pertumbuhan permintaan buruh yang mampan, selari dengan peningkatan 3.3 peratus bilangan penduduk bekerja pada suku keempat 2025, membentuk asas kukuh ke arah transformasi ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 yang menumpukan pewujudan pekerjaan baharu serta peningkatan kemahiran digital dan hijau,” tambahnya. – UTUSAN










