Pensijilan halal perkukuh kredibiliti The Raw Cosmetics

Pensijilan halal perkukuh kredibiliti The Raw Cosmetics

ADIBAH Mazlan (empat dari kiri) semasa pelancaran The Raw di Guardian, Brunei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jenama penjagaan kulit tempatan, The Raw. Cosmetics (The Raw) meletakkan pensijilan halal sebagai kunci utama dan standard disiplin tertinggi dalam usaha memperkukuhkan kedudukan jenama itu di persada antarabangsa.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adibah Mazlan berkata, bagi The Raw, proses mendapatkan sijil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya satu tanggungjawab besar bagi memastikan keselamatan dan integriti setiap produk.

Beliau yang juga merupakan ahli farmasi bertauliah menjelaskan, latar belakang pendidikannya dalam bidang farmasi menjadikan beliau sangat menitikberatkan ketelusan bahan mentah serta kebolehkesanan dalam setiap rantaian bekalan.

“Bagi saya, halal bermaksud tanggungjawab. Setiap bahan perlu disahkan, setiap pembekal didokumentasikan dan setiap peringkat pengeluaran perlu telus.

“Di pasaran moden hari ini, pensijilan halal bukan hanya untuk pengguna Muslim, malah ia dilihat sebagai jaminan kualiti dan kebersihan yang lebih ketat, sekali gus membina kepercayaan luar biasa daripada pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Adibah, integriti halal syarikatnya terus diperkukuh menerusi pembaharuan sijil secara konsisten setiap dua tahun, selain pencapaian terbaharu memperoleh pensijilan ISO 9001:2015 pada tahun 2025 bagi Sistem Pengurusan Kualiti.

“Pensijilan halal memerlukan sistem tadbir urus yang berdisiplin. Apabila digabungkan dengan piawaian ISO, ia membuktikan kami menguruskan organisasi mengikut standard antarabangsa yang memfokuskan kepada penambahbaikan berterusan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, impak pemilikan sijil halal sangat ketara dalam membina keyakinan pengguna, terutama apabila syarikat melaksanakan kempen media berskala besar untuk menarik audiens yang lebih luas.

“Apabila produk membawa logo halal, keraguan pengguna terhadap keselamatan bahan dapat dihapuskan dengan lebih cepat. Ini memudahkan kami untuk memperkenalkan produk baharu serta menembusi pasaran yang mempunyai kawal selia ketat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×