PETALING JAYA: PakarPest menjalin kerjasama strategik bersama Kamal & Kamal Pest Control bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kawalan perosak yang lebih cekap, pantas dan berkualiti tinggi kepada pelanggan di seluruh Malaysia.
Kerjasama itu menandakan langkah penting dalam usaha memperluas rangkaian rakan servis PakarPest, selain meningkatkan kapasiti operasi bagi memenuhi permintaan industri yang semakin berkembang merangkumi sektor kediaman, komersial dan industri.
Pengasas PakarPest, Khairun Naim Abu Bakar berkata, kerjasama tersebut selari dengan visi syarikat untuk membina ekosistem rangkaian rakan servis yang kukuh dan dipercayai.
“Kami percaya gabungan teknologi, sistem pengurusan PakarPest dan kepakaran lapangan Kamal & Kamal Pest Control akan memberikan nilai tambah yang besar kepada pelanggan serta industri kawalan perosak secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus Besar Kamal & Kamal Pest Control, Azlan Kamal Hussein Kamal berkata, pihaknya komited untuk menyokong misi ini dengan menyediakan tenaga kerja berpengalaman serta penyelesaian kawalan perosak yang efektif dan selamat.
“Kerjasama strategik ini dijangka membuka lebih banyak peluang projek, memperkukuh standard industri serta meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan kawalan perosak yang profesional dan berstruktur di Malaysia,” katanya.
PakarPest akan bertindak sebagai platform utama yang menyalurkan permintaan servis kepada rakan strategik, manakala Kamal & Kamal Pest Control akan menyumbang kepakaran teknikal serta pengalaman lapangan bagi memastikan setiap projek dilaksanakan mengikut standard profesional dan amalan terbaik industri.
Antara fokus utama kerjasama termasuk mempercepatkan respon terhadap permintaan servis pelanggan dan menyeragamkan standard kualiti perkhidmatan kawalan perosak.
Selain itu, ia bakal memperluas liputan operasi di pelbagai lokasi, meningkatkan kecekapan pengurusan projek dan penyampaian servis. – UTUSAN









