Nilai jualan sektor pembuatan capai RM1.97 trilion pada 2025 - Utusan Malaysia

Nilai jualan sektor pembuatan capai RM1.97 trilion pada 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan pada 2025 mencapai RM1.97 trilion, meningkat 4.2 peratus daripada RM1.9 trilion pada tahun sebelumnya, dipacu lonjakan jualan subsektor peralatan elektrik dan elektronik.

Nilai jualan pada Disember 2025 meningkat 6.4 peratus kepada RM168.6 bilion.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, subsektor peralatan elektrik dan elektronik tumbuh 12.6 peratus pada Disember 2025 daripada 10.8 peratus pada November 2025.

“Pertumbuhan turut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka, masing-masing meningkat sebanyak 10.4 peratus dan 5.3 peratus.

“Perbandingan bagi bulan ke bulan, pertumbuhan nilai jualan susut 0.5 peratus, berbanding RM169.4 bilion yang direkodkan November 2025,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.4 peratus daripada jumlah jualan, bertambah baik 6.8 peratus pada Disember 2025 berbanding 4.6 peratus pada November 2025.

“Prestasi ini terutamanya disumbangkan oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 13.3 peratus daripada November 2025: 11.1 peratus. 

“Ini diikuti dengan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang tumbuh 11.1 peratus berbanding 6.5 peratus pada November serta pembuatan kelengkapan elektrik (9.5 peratus). 

“Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan eksport menguncup 1.0 peratus berbanding -2.9 peratus pada November. Begitu juga, industri berorientasikan domestik meningkat 5.6 peratus pada Disember 2025, selepas mencatatkan 4.6 peratus pada sebulan lalu,” katanya. 

Jelasnya, peningkatan ini disumbang oleh kenaikan dalam industri pembuatan produk pemprosesan makanan dengan 9.6 peratus pada Disember 2025 berbanding 8.9 peratus pada November 2025 beserta dengan industri pembuatan logam asas (6.5 peratus) dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan  kelengkapan (5.3 peratus).

“Di samping itu, industri berorientasikan domestik meningkat 0.7 peratus berbanding bulan sebelumnya,” katanya. 

Mohd. Uzir berkata, sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Disember 2025, bertambah sebanyak 1.1 peratus berbanding 0.8 peratus pada November 2025.

“Pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (1.9 peratus), peralatan elektrik dan elektronik (1.7 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.2 peratus). 

Katanya, berasaskan bulan ke bulan, bilangan pekerja dalam sektor ini meningkat 0.1 peratus.

“Seiring dengan itu, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 2.5 peratus berjumlah RM9.1 bilion pada Disember 2025. 

“Gaji dan upah yang dibayar melonjak 7.7 peratus berbanding RM8.5 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya. 

“Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM69,502 (5.3 peratus) manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,756, meningkat 1.3 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Selain itu, jelas beliau, pada suku keempat 2025, nilai jualan sektor pembuatan tumbuh sebanyak 5.8 peratus tahun ke tahun, mencapai RM509.5 bilion berbanding RM500.1 bilion pada suku ketiga 2025.

“Peningkatan tersebut disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (9.8 peratus), peralatan elektrik dan elektronik (11.7 peratus) dan produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.4 peratus).

“Sementara itu, bilangan pekerja pada suku tahun berkenaan bertambah baik kepada 1.1 peratus berbanding 1.0 peratus pada suku ketiga 2025 manakala, gaji dan upah dibayar naik 2.3 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN