KUALA LUMPUR: MyDigital ID Sdn. Bhd. menyasarkan sebanyak 17 juta pendaftaran pengguna menjelang hujung tahun ini, selepas mencatatkan hampir 10 juta individu berdaftar setakat ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Inovasi dan Penyampaian Teknologi MyDigital ID, Ir. Ts. Azrin Aris berkata, penggunaan identiti digital kebangsaan menunjukkan pertumbuhan pesat dengan jumlah pendaftaran kini melepasi sembilan juta pengguna.
“Secara statistik, kita ada kira-kira 13 juta pengguna internet yang aktif membuat transaksi dalam talian. Ketika ini, pendaftaran MyDigital ID sudah melebihi sembilan juta dan menghampiri 10 juta. Sasaran terdekat ialah mencapai 13 juta pengguna berdaftar pada pertengahan tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan memorandum persefahaman (MoU) antara MyDigital ID dengan bank, penyedia e-dompet dan syarikat teknologi kewangan (fintech) di sini, semalam.
Melalui kerjasama ini, teknologi e-pengesahan MyDigital ID akan diuji dan dilaksanakan dalam sistem pendaftaran pelanggan (onboarding) serta pengesahan transaksi institusi-institusi yang terlibat.
Antara rakan kerjasama yang terlibat dalam pemeteraian MoU tersebut ialah Maybank, CIMB Bank, Public Bank, RHB Bank, Hong Leong Bank, AmBank, Bank Islam, Boost Bank, KAF Digital Bank, Ryt Bank, Touch ’n Go Digital, ShopeePay, Atome, Kale Technology (PayLater) dan Finexus.
Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan penggunaan identiti digital yang disahkan harap dapat membantu mengurangkan kes penipuan dalam talian serta memperkukuh keselamatan transaksi digital negara.
Dalam pada itu, trend jenayah siber di negara ini menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila nilai kerugian direkodkan melonjak daripada kira-kira RM1.9 bilion kepada RM2.9 bilion dalam tempoh setahun, sekali gus menuntut tindakan perundangan yang lebih tegas dan menyeluruh.
Mengulas mengenai kenaikan tersebut, Ketua Eksekutif, Badan Keamanan Siber Nasional (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, lonjakan hampir RM1 bilion itu memberi isyarat jelas bahawa ancaman siber berkembang lebih pantas daripada tahap kesedaran dan perlindungan semasa.
“Kalau ikut statistik 2024 ke 2025, ia satu trend yang amat membimbangkan. Pertambahan RM1 bilion dalam tempoh setahun sahaja. Jika kita tidak buat sesuatu, nombor itu akan meningkat lebih mendadak tahun ini,” katanya.
Menurut beliau, peningkatan risiko itu berlaku seiring dengan agenda ekonomi digital negara yang semakin pesat, sekali gus memerlukan kerangka undang-undang baharu yang lebih relevan dengan landskap ancaman semasa.
Katanya, rang undang-undang jenayah siber baharu dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi akan menggantikan pendekatan lama yang tidak lagi mencukupi.
“Negara menekankan ekonomi dan tranformasi digital sebagai agenda utama bagi memastikan ekosistem digital yang lebih efisien. Dalam konteks itu, kita perlu bertindak. Rang undang-undang jenayah siber akan dibentangkan tahun ini.
“Akta sedia ada tidak lagi menyeluruh dan tidak relevan dengan terma serta bentuk ancaman semasa. Undang-undang baharu ini akan menekankan aspek perundangan yang membolehkan tindakan lebih tegas dikenakan terhadap kesalahan jenayah siber,” katanya.
Tambah beliau, pengukuhan undang-undang itu juga dijangka membantu mengekang peningkatan kes penipuan dalam talian, khususnya yang melibatkan penyamaran identiti dan transaksi kewangan.
“Banyak jenayah siber dan penipuan kewangan berpunca daripada penipuan identiti. Dengan teknologi sedia ada, individu boleh menyamar sebagai orang lain untuk membuat transaksi, terutama transaksi kewangan. Sebab itu inisiatif seperti MyDigitalID menjadi komponen penting,” tambahnya. – UTUSAN










