PETALING JAYA: Melaka memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini menerusi pembangunan hab kesihatan pakar bersepadu yang melibatkan nilai pelaburan reka dan bina berjumlah RM678 juta.
Projek mercu tanda di Mukim Bukit Baru itu merangkumi pembinaan Putra Specialist Hospital 2 dan Brain & Spine Hospital di atas tapak seluas 9.9 hektar.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan itu merupakan satu anjakan paradigma dalam memartabatkan Melaka sebagai wilayah kesihatan serantau, sekali gus melahirkan kira-kira 1,000 peluang kerjaya baharu.
Menurut beliau, kerajaan negeri bukan sekadar membina prasarana, malah komited menyediakan ekosistem kesihatan tuntas demi kesejahteraan rakyat berteraskan prinsip ‘Melaka Sayang Rakyat’.
“Pelaburan ini bukan sahaja mengukuhkan ekonomi domestik, malah memastikan Melaka kekal sebagai destinasi pelancongan perubatan bertaraf antarabangsa yang mampu menawarkan perkhidmatan kepakaran tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Putra Specialist Hospital 2 merupakan hospital pakar pelbagai disiplin setinggi 12 tingkat dengan kapasiti 300 katil, manakala Brain & Spine Hospital pula memfokuskan kepada perkhidmatan neurologi dan tulang belakang dengan kapasiti 120 katil.
Projek tersebut bakal diterajui oleh syarikat usaha sama (JV) yang melibatkan MRCB Land Sdn. Bhd., PM Multilink Sdn. Bhd. dan Majestic Quest Sdn. Bhd.
Dalam majlis sama, Ab Rauf turut menyaksikan penyerahan surat niat (LOI) kepada MRCB Builders Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) bagi skop cadangan projek dan majlis pecah tanah pembangunan berkenaan di Melaka Tengah.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Mohd Imran Salim berkata, penglibatan syarikat dalam projek itu selaras dengan strategi untuk mempelbagaikan portfolio ke dalam segmen pertumbuhan baharu yang berimpak tinggi.
“Kekuatan kami dalam merancang dan mengurus infrastruktur kompleks akan memberikan nilai bermakna kepada masyarakat.
“Pembangunan ini juga bakal merangsang pertumbuhan ekonomi setempat serta memperkukuh kedudukan Melaka sebagai pusat kesejahteraan dan perubatan holistik,” jelasnya.
Pelan induk pembangunan bersepadu itu turut dirancang dengan elemen tambahan merangkumi akademi kejururawatan, pusat kesejahteraan, santuari warga emas serta kemudahan hospitaliti dan komersial yang dihubungkan melalui landskap rekreasi hijau. – UTUSAN










