Media sosial tingkatkan jualan PakCHIPS sehingga 30%

Media sosial tingkatkan jualan PakCHIPS sehingga 30%

PROGRAM Mentor Mentee anjuran FAMA Terengganu di kilang PakCHIPS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGUNAAN media sosial membantu mempromosikan jenama snek sihat tempatan, PakCHIPS dengan menyumbang kira-kira 20 hingga 30 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan pemasaran digital dalam memperluas capaian pelanggan.

Angka tersebut dijangka terus meningkat seiring pelaksanaan strategi penjenamaan digital yang lebih agresif, termasuk penghasilan kandungan kreatif serta pengukuhan interaksi bersama pengguna.

Pengurus Besar D Souq Enterprise, Razana Fatin Abdul Rahman berkata, PakCHIPS memanfaatkan media sosial seperti TikTok bukan sahaja sebagai platform pemasaran, malah sebagai saluran jualan terus melalui TikTok Shop. 

“Pendekatan ini memboleh­kan kami berinteraksi secara lebih dekat dengan pengguna.

“Platform digital bukan sahaja membantu meningkatkan jualan, malah memperkukuhkan kesedaran jenama dalam kalangan pengguna.

“Peralihan tingkah laku pengguna ke platform digital merupakan antara perubahan paling besar dalam landskap perniagaan hari ini. 

“Pengguna kini bukan sahaja membuat pilihan berdasarkan produk, tetapi juga cerita dan kepercayaan terhadap jenama,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Beliau berkata, perniagaan tersebut bermula dengan modal sederhana serta perancangan yang dilaksanakan secara berperingkat.

“Kami bermula dengan modal sederhana dan setiap perancangan dibuat secara berhati-hati. Pada peringkat awal, keutamaan diberikan kepada keperluan asas seperti pengeluaran, pembungkusan dan pemasaran terpilih.

“Pendekatan ini mengajar kami supaya lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan, selain memastikan setiap pelaburan memberi pulangan yang munasabah. 

“PakCHIPS kini berjaya mengekalkan purata jualan bulanan lima angka, selari dengan pertumbuhan yang terus memberangsangkan,” ujarnya.

Mengulas cabaran perniagaan, beliau mengakui konsistensi pengeluaran dan kualiti menjadi antara aspek paling mencabar, khususnya ketika proses penstrukturan semula operasi pengilangan di Dungun.

“Proses ini menuntut kesabaran kerana melibatkan tenaga kerja, sistem operasi serta pematuhan piawaian makanan.

“Bagaimanapun, cabaran tersebut ditangani secara berperingkat melalui penetapan prosedur operasi standard (SOP), latihan berterusan kepada pekerja serta penekanan terhadap kawalan kualiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan golongan muda supaya berani memulakan perniagaan walaupun secara kecil, namun kekal konsisten dan berdisiplin.

“Keusahawanan bukan jalan yang mudah, tetapi dengan kesabaran, ilmu dan integriti, ia mampu menjadi platform untuk membina nilai jangka panjang.

“Yang penting, jangan mudah berputus asa dan sentiasa bersedia untuk belajar serta menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN