MBSB Bank sedia pembiayaan berstruktur RM95.8 juta kepada JDVSB

MBSB Bank sedia pembiayaan berstruktur RM95.8 juta kepada JDVSB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menyediakan kemudahan pembiayaan berstruktur bernilai RM95.8 juta kepada Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd (JDVSB), sebuah usaha sama strategik antara Kulim (Malaysia) Berhad dan A2 Fresh Holdings. 

Komitmen bersejarah ini mempercepatkan mandat Johor Corporation (JCorp) untuk mengindustrikan sektor agriteknologi Malaysia, sekali gus meletakkan East Coast Economic Region (ECER) sebagai hab makanan serantau berimpak tinggi.

Pembiayaan ini akan digunakan bagi pembangunan infrastruktur tenusu bertaraf Tier-1, termasuk pemerolehan lembu baka A2 Jersey Friesian berproduktiviti tinggi serta pembinaan kemudahan pemprosesan bertaraf dunia yang berkeupayaan menghasilkan 14 juta liter susu setahun menjelang 2027.

Inisiatif ini secara langsung menangani jurang kritikal akibat kebergantungan tinggi terhadap import produk tenusu serta menyokong agenda nasional ke arah jaminan keselamatan makanan, dengan mentransformasikan landskap industri yang sebelum ini berpecah-pecah kepada ekosistem berteknologi tinggi dan berproduktiviti tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Rafe Haneef berkata, pihaknya melihat keselamatan makanan sebagai kelas aset strategik yang memerlukan suntikan modal berskala besar, selaras dengan mandat Agro-ESG kami bernilai RM1 bilion. 

“Kemudahan RM95.8 juta ini mencerminkan komitmen kami untuk menjadi pemangkin kepada ekosistem tenusu bersepadu pertama Johor, mewujudkan infrastruktur berteraskan teknologi dan patuh ESG yang penting dalam memperkukuh tahap sara diri domestik Malaysia,” katanya dalam kenyataan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd.,Qasem Alhasan berkata, JDVSB direka sebagai ekosistem tenusu menyeluruh, menggabungkan teknologi penternakan bertaraf dunia, amalan lestari dan pembangunan bakat tempatan bagi menghasilkan susu tempatan berkualiti tinggi pada skala besar, sambil menyokong matlamat jangka panjang keselamatan makanan negara.

Projek Jemaluang Dairy Valley menjadi bukti konsep bagi Pertanian Tepat (Precision Agriculture) 4.0. Selain pembiayaan, kepentingan projek ini terletak pada integrasi ekonomi kitarannya, di mana sistem pengurusan sisa termaju menukarkan hasil sampingan ternakan kepada baja organik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada input sintetik dalam rantaian bekalan.

Strategi ini turut disokong oleh pendekatan pengoptimuman genetik melalui import 1,000 ekor lembu baka A2 yang dijangka menghasilkan produktiviti hampir tiga kali ganda berbanding purata pengeluaran tempatan.

Selain itu, projek ini berperanan sebagai pemangkin transformasi modal insan di ECER. 

Melalui program peningkatan kemahiran teknikal (up-skilling) yang tersusun, tenaga kerja tempatan akan beralih kepada peranan bernilai tinggi dalam sektor agriteknologi moden, memastikan manfaat ekonomi daripada kemudahan ini dapat dinikmati secara meluas oleh komuniti setempat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN