PETALING JAYA: Maybank mencatat keuntungan bersih berjumlah RM10.51 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun berbanding RM10.09 bilion pada tahun sebelumnya.
Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua tunai penuh sebanyak 33 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 63 sen sesaham.
Ini bersamaan nisbah pembayaran dividen sebanyak 72.4 peratus dan hasil dividen sebanyak 6.0 peratus.
Sementara itu, keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.33 bilion, mencerminkan prestasi operasi yang lebih kukuh dan kos kredit yang lebih rendah sepanjang tahun.
Pendapatan operasi bersih pula meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM30.38 bilion, didorong oleh peningkatan pendapatan berasaskan dana bersih kepada RM20.23 bilion dan pendapatan bukan faedah (NoII) kepada RM10.15 bilion, masing-masing meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun.
Margin pendapatan bersih (NIM) kekal stabil pada 2.05 peratus walaupun terdapat pelarasan kadar di beberapa pasaran.
Bagi suku keempat 2025, untung bersih kumpulan meningkat 5.7 peratus kepada RM2.68 bilion, manakala PBT meningkat 9.0 peratus kepada RM3.72 bilion.
Prestasi yang lebih kukuh ini disokong oleh pendapatan berasaskan dana bersih lebih tinggi serta peruntukan rosot nilai bersih lebih rendah, mencerminkan daya tahan portfolio berterusan dan keadaan kredit yang bertambah baik berbanding suku yang sama tahun sebelumnya. – UTUSAN










