KUALA LUMPUR: Malaysia memberi tumpuan kepada enam bidang berimpak tinggi bagi mempercepat transformasi digital negara tahun ini, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.
Beliau berkata, ia meliputi penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian, pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penguatkuasaan serta perkhidmatan kerajaan.
Menurutnya, fokus tersebut membolehkan kerajaan memastikan ekosistem digital negara berkembang secara lebih terarah serta memberi impak nyata kepada rakyat.
“Keenam-enam bidang ini dikenal pasti bagi memperkasa rakyat supaya memahami teknologi yang tersedia, mampu mengaksesnya serta menggunakannya dalam kehidupan harian.
“Jika ketiga-tiga perkara ini dapat dicapai dan kumpulan sasaran benar-benar merasai manfaat teknologi, di situlah kita akan melihat kesan sebenar transformasi digital.
“Kerajaan perlu memacu agenda ini kerana industri akan sentiasa memperkenalkan teknologi baharu dan menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat bersedia menghadapinya.
“Di Kementerian Digital, kami komited memastikan ekonomi negara berdaya tahan, inklusif dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi Menara Merdeka 118 sebagai MD Nexus pertama di Malaysia, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan melabur secara berterusan dalam pembangunan teknologi serta sentiasa menilai perubahan yang berlaku bagi memastikan negara bersedia menghadapi perkembangan seterusnya.
Katanya, meskipun pelbagai pihak giat membincangkan teknologi baharu dan pembangunan ekosistem digital, kerajaan tetap perlu merapatkan jurang pelaksanaan supaya setiap inisiatif benar-benar memberi kesan menyeluruh kepada rakyat.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan pihak industri dan menerima pelbagai pandangan. Kementerian ini masih baharu dan banyak yang perlu dipelajari, justeru kerjasama semua pihak amat penting.
“Kami mahu membina ekosistem yang memastikan negara bersedia menerima teknologi baharu supaya terus dapat dimanfaatkan.
“Dalam masa sama, kami memastikan setiap pembangunan dilaksanakan secara mampan dan rakyat benar-benar merasai impaknya sehingga mampu mengubah kehidupan harian ke arah lebih baik,” katanya. – UTUSAN










