MAG sedia lebih 2,700 penerbangan domestik pada musim puncak Ramadan dan Aidilfitri - Utusan Malaysia

MAG sedia lebih 2,700 penerbangan domestik pada musim puncak Ramadan dan Aidilfitri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG), menerusi syarikat penerbangannya Malaysia Airlines dan Firefly, akan mengendalikan lebih daripada 2,700 penerbangan domestik sempena musim puncak perjalanan ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

MAG berkata, Malaysia Airlines akan mengendalikan sehingga 1,557 penerbangan, manakala Firefly akan menyediakan sehingga 1,176 perkhidmatan yang menghubungkan destinasi-destinasi utama di Semenanjung Malaysia serta Malaysia Timur. 

“Penambahan jadual penerbangan ini menawarkan fleksibiliti yang lebih besar dan lebih banyak pilihan kepada penumpang untuk merancang perjalanan pulang ke kampung halaman.

“Bagi memenuhi permintaan yang tinggi, Malaysia Airlines akan menaik taraf jenis pesawat di laluan bertrafik tinggi termasuk Alor Setar, Kota Bharu, Terengganu, Miri, Sibu, Kuching, Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan. 

Selain itu, syarikat penerbangan itu juga akan mengendalikan penerbangan lewat malam (red-eye flights) ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Kuching, membolehkan penumpang memanfaatkan masa perjalanan mereka dengan lebih optimum.

“Sebagai pelengkap kepada penerbangan tambahan ini, syarikat penerbangan berkenaan turut menawarkan tambang tetap sehala semua termasuk bagi laluan utama ke Malaysia Timur. 

“Tambang Malaysia Airlines bermula dari RM339 ke Sarawak dan RM399 ke Sabah bagi penerbangan terpilih, manakala tambang Firefly bermula dari RM298 ke Sarawak dan RM348 ke Sabah. 

“Tambang-tambang ini boleh dibeli mulai sekarang hingga 29 Mac 2026, untuk tempoh perjalanan antara 17 Mac hingga 29 Mac 2026, secara eksklusif melalui laman web rasmi dan aplikasi mudah alih syarikat penerbangan berkenaan,” katanya. 

Sebagai sokongan kepada inisiatif perjalanan perayaan kerajaan, kedua-dua syarikat penerbangan mengenakan had tambang bagi laluan terpilih ke Malaysia Timur, dengan Malaysia Airlines menawarkan tambang maksimum sehala semua termasuk sehingga RM569*, manakala Firefly menawarkan tambang sehingga RM548* sehala semua termasuk, bagi perjalanan antara 17 Mac hingga 20 Mac 2026.

MAG kekal komited untuk menghubungkan rakyat dan destinasi di seluruh negara sepanjang tempoh Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, bagi membolehkan pertemuan keluarga yang bermakna serta pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan sepanjang musim perayaan

Sebarang maklumat lanjut dan tempahan tiket penerbangan, boleh layari www.malaysiaairlines.com dan www.fireflyz.com atau muat turun aplikasi mudah alih Malaysia Airlines atau Firefly. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN