Lonjakan harga emas pacu nilai jualan Tomei - Utusan Malaysia

Lonjakan harga emas pacu nilai jualan Tomei

ng Yih Pyng (tiga kiri) bersama selebriti, Anna Jobling yang memperagakan Koleksi Raya 2026 Tomei di Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kenaikan harga emas global memberi kesan bercampur kepada industri barang kemas tempatan, namun Tomei Consolidated Bhd. optimis mampu mencatat pertumbuhan jualan dua digit pada musim perayaan tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Tomei, Datuk Ng Yih Pyng berkata, walaupun pihaknya tidak terlalu optimistik terhadap sentimen pasaran semasa, peningkatan harga emas secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan nilai jualan walaupun jumlah berat barangan kemas yang terjual dijangka lebih kecil.

“Dari aspek nilai, penjualan adalah lebih baik dan berpotensi mencatat pertumbuhan dua digit. Namun dari segi berat, ia mungkin berkurangan kerana harga emas kini berada pada paras yang tinggi dan pelanggan lebih cenderung memilih barangan bersaiz kecil.

“Trend tersebut sejajar dengan perubahan corak pembelian pengguna yang kini lebih berhati-hati, namun masih melihat emas sebagai aset bernilai tinggi untuk jangka panjang,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Pelancaran Koleksi Raya 2026, Pulang, The Joy I Carry Home, baru-baru ini.

Menerusi pelancaran tersebut, Tomei memperkenalkan empat koleksi utama iaitu Sri Puteri, Diamond Cut, Anastasia dan Tomei Diamond yang kini dipasarkan di semua cawangan di seluruh negara.

Mengulas momentum jualan, Yih Pyng berkata, pertumbuhan ekonomi domestik dan pelbagai inisiatif kerajaan bagi merangsang aktiviti ekonomi dijangka terus menyokong perbelanjaan pengguna, termasuk dalam segmen barangan kemas.

“Sebahagian besar pelanggan kami terdiri daripada pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Jika sentimen perniagaan adalah positif, ia akan menyokong perbelanjaan mereka,” katanya.

Sebagai jenama tempatan yang telah berada di pasaran selama 58 tahun, beliau mengakui turun naik harga emas kekal sebagai cabaran utama kepada pengurusan margin keuntungan syarikat.

“Risiko harga adalah sesuatu yang perlu kami uruskan kerana emas dibeli pada satu harga, diproses dan sebelum dijual, harganya mungkin berubah. Dalam keadaan pasaran semasa, pengurusan risiko adalah sangat penting,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Yi Jia berkata, sokongan teknologi pembuatan terkini membolehkan penghasilan barang kemas bersaiz lebih kecil tetapi kelihatan lebih besar, kukuh dan bernilai tinggi dari segi rekaan.

“Teknologi baharu membolehkan kami menghasilkan rekaan yang lebih kreatif dengan pelbagai kesan khas, termasuk teknik pemotongan berlian yang lebih halus dan berkualiti.

“Pendekatan tersebut penting bagi memastikan industri kekal kompetitif dalam persekitaran kos bahan mentah yang semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN