KL Wellness City sasar jadi hab pelancongan perubatan utama Asia Tenggara - Utusan Malaysia

KL Wellness City sasar jadi hab pelancongan perubatan utama Asia Tenggara

COLIN Lee (tiga dari kanan) dan Mohd Amirul Rizal (tiga dari kiri) dalam majlis pelancaran kempen “Kongsi Cahaya” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Galeri KL Wellness City, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembangunan sektor pelancongan perubatan negara dijangka menerima lonjakan baharu menerusi kemunculan KL Wellness City (KLWC), projek perbandaran kesejahteraan dan penjagaan kesihatan bersepadu pertama di rantau ini yang disasarkan menjadi hab utama Asia Tenggara.

Projek yang merangkumi kawasan seluas 10.72 hektar itu memperlihatkan kemajuan signifikan apabila pembinaan Hospital Antarabangsa KL (KLIH) dilaporkan telah mencapai tahap 85 peratus.

Pengarah Urusan KLWC, Datuk Dr. Colin Lee berkata, projek itu dijadualkan siap sepenuhnya menjelang suku keempat 2026, sekali gus bakal merancakkan lagi ekonomi negara melalui sektor penjagaan kesihatan.

Menurut beliau, KLIH bukan sekadar sebuah bangunan hospital biasa, malah ia bakal menjadi hospital swasta pertama di negara ini yang dilengkapi dengan kemudahan pad helikopter (helipad) bagi tujuan pemindahan kecemasan dan pesakit kritikal.

“Visi kami adalah untuk menjadikan hospital ini sebagai yang terbaik di Asia Tenggara, malah mengatasi standard sedia ada di Singapura.

“Antara kekuatan utama kami adalah pengenalan sistem onkologi radiasi tercanggih yang mampu merawat kanser dengan ketepatan sehingga satu milimeter.

“Keupayaan ini jauh lebih jitu berbanding purata tiga hingga empat milimeter di hospital lain di rantau ini, sekali gus menawarkan kesan sampingan yang lebih minimum kepada pesakit,” katanya dalam majlis pelancaran kempen “Kongsi Cahaya” sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Galeri KL Wellness City, di sini, hari ini.

Selain hospital, pembangunan itu turut merangkumi Nobel Healthcare Park yang direka untuk menempatkan pakar perubatan, pusat pemulihan, serta penyedia perubatan tradisional dan integratif di bawah satu bumbung.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd. Amirul Rizal berkata, inisiatif yang diambil oleh KLWC merupakan contoh terbaik bagaimana inovasi dan budaya dapat digabungkan bagi menarik kedatangan pelancong.

“Dengan memajukan infrastruktur penjagaan kesihatan bertaraf dunia, projek ini secara langsung meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancongan perubatan dan kesejahteraan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), KLWC turut menghulurkan sumbangan kepada beberapa rumah kebajikan termasuk Lighthouse Children Welfare Home Association, Persatuan Kebajikan Rumah Victory Malaysia dan Yayasan Sunbeams Home.

Selain itu, bagi menggalakkan kesedaran penjagaan kesihatan pencegahan dalam kalangan masyarakat, KLWC turut menyampaikan baucar saringan kesihatan bernilai RM1,000 setiap satu kepada pemenang cabutan bertuah untuk ditebus di Hospital Antarabangsa KL apabila ia dibuka kelak.

Pembangunan KLWC secara keseluruhannya merangkumi pelbagai komponen termasuk unit perubatan, makmal inovasi, pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) klinikal, serta pangsapuri servis berpusatkan kesejahteraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN