PETALING JAYA:KHPT Holdings Berhad (KHB) mencatatkan keuntungan bersih (PAT) sebanyak RM3.34 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meskipun berdepan dengan fasa peralihan model kenderaan dalam industri automotif.
Prestasi itu dicapai di sebalik penurunan sederhana hasil kumpulan sebanyak 4.73 peratus kepada RM100.05 juta, berbanding RM105.02 juta pada tahun sebelumnya.
Penurunan hasil tersebut berpunca daripada volum pengeluaran yang lebih rendah susulan penamatan model warisan Proton sebagai persediaan untuk varian wajah baharu (facelift).
Walau bagaimanapun, kumpulan tetap mengekalkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM4.78 miliaon bagi tahun tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan KHB, Datin Eloise See berkata, prestasi tahun 2025 menyerlahkan keupayaan kumpulan untuk mengekalkan hala tuju yang stabil ketika menyesuaikan diri dengan peralihan berterusan dalam industri automotif.
“Walaupun sektor ini mengharungi pelbagai pelarasan dasar dan kenaikan kos operasi sepanjang tahun, kami tetap fokus pada kecekapan dalaman dan pengurusan yang berdisiplin.
“Mengekalkan keputusan positif bagi tahun penuh ini memberikan kami asas yang stabil dan momentum yang diperlukan untuk melangkah ke tahun 2026,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, prospek KHB kekal positif memandangkan pengeluar kereta nasional seperti Perodua dan Proton terus mendominasi pasaran dengan pegangan melebihi 60 peratus.
“Kumpulan menjangkakan permintaan yang stabil dan berdaya tahan bagi komponen teras badan dan enjin kenderaan pada tahun-tahun akan datang.
“Kami juga sedar akan persekitaran kos yang meningkat, terutamanya melibatkan pelarasan buruh dan utiliti. Namun, fokus kami kekal pada penciptaan nilai jangka panjang melalui automasi dan penjajaran rapat dengan kitaran pengeluaran rakan kongsi pengeluar kereta nasional,” katanya.
Melangkah ke hadapan, KHB bersedia untuk memanfaatkan peluang daripada trend penyetempatan komponen dan kenderaan elektrik (EV) yang semakin meningkat di Malaysia bagi memacu pertumbuhan masa depan.
Untuk rekod, industri automotif Malaysia mencatatkan Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) yang bersejarah sebanyak 820,752 unit pada tahun 2025, dengan jangkaan normalisasi kepada 790,000 unit bagi tahun 2026.-UTUSAN










