Khazanah catat untung operasi RM5.6 bilion, bayar RM2 bilion dividen pada kerajaan - Utusan Malaysia

Khazanah catat untung operasi RM5.6 bilion, bayar RM2 bilion dividen pada kerajaan

AMIRUL Feisal Wan Zahir (tengah) bersama Ketua Pegawai Pelaburan, Datuk Hisham Hamdan dan Ketua Pegawai Kewangan, Faridah Bakar Ali pada Majlis Taklimat Media Semakan Tahunan Khazanah 2026, di sini, hari ini. - UTUSAN/MOHD FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mencatatkan keuntungan daripada operasi sebanyak RM5.6 bilion pada tahun kewangan 2025 berbanding RM5.1 bilion pada tahun sebelumnya, meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi global yang berterusan.

Dana kekayaan berdaulat Malaysia itu menutup tahun dengan aset bersih berjumlah RM105 bilion dan mencatat pulangan 5.2 peratus, disokong oleh pengurusan portfolio yang berdisiplin serta pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai jangka panjang.

Selaras dengan peranannya sebagai pemegang amanah jangka panjang dengan selera risiko strategik yang jelas, Khazanah turut mencatat pulangan kitaran tujuh tahun sebanyak 6.1 peratus.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi ini mencerminkan disiplin pelaburan serta pendekatan jangka panjang konsisten dalam mengurus portfolionya.

“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar, Khazanah kekal komited untuk menumbuhkan kekayaan jangka panjang negara melalui pulangan terlaras risiko, di samping menjana nilai melangkaui pulangan kewangan menerusi pembangunan kapasiti dan komuniti.

“Selaras dengan strategi Memajukan Malaysia (Advancing Malaysia), kami akan terus menyokong agenda Ekonomi Madani dalam menaikkan lantai dan siling ekonomi negara,” katanya pada taklimat media Kajian Tahunan Khazanah 2026 di Mercu UEM di sini.

Berikutan prestasi kewangan tersebut, Khazanah membayar dividen berjumlah RM2 bilion kepada Kerajaan Malaysia berbanding RM1 bilion pada 2024, sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sejak penubuhannya pada 2004, Khazanah telah membayar dividen terkumpul sebanyak RM21.1 bilion kepada Kerajaan dengan pulangan pemegang saham terkumpul berjumlah RM93.1 bilion.

Beliau berkata, walaupun pasaran global terus dipengaruhi perang tarif dan risiko geopolitik, Khazanah menggambarkan momentum pertumbuhan Malaysia yang kekal mampan, disokong oleh dasar progresif serta pendirian geopolitik berkecuali negara.

Pada 2025, jumlah aset meningkat sebanyak RM5 bilion kepada RM156 bilion, mencerminkan pertumbuhan portfolio yang stabil dalam jangka panjang.

“Prestasi kewangan Khazanah didorong terutamanya oleh Portfolio Pelaburan yang kekal menjadi tunjang pulangan dan berkembang daripada RM81 bilion pada 2018 kepada RM95 bilion setakat akhir 2025, disokong oleh prestasi kukuh ekuiti domestik dan global, pelaksanaan inisiatif penciptaan nilai serta kepelbagaian merentas portfolio.

“Sebagai dana kekayaan berdaulat, kami menilai prestasi berdasarkan pandangan jangka panjang dengan pendekatan portfolio dan bukan berasaskan keuntungan jangka pendek.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan dana kekayaan berdaulat terkemuka di peringkat global yang menekankan pulangan terlaras risiko serta daya tahan merentas kitaran ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN