Kee Ming catat premium 107.89% di Pasaran ACE 

Kee Ming catat premium 107.89% di Pasaran ACE 

LIEW Kar Hoe (lima dari kanan) bersama barisan pengurusan kanan Kee Ming semasa gimik paluan gong sempena penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kee Ming Group Berhad (Kee Ming) membuat penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 79 sen saham, mewakili premium 107.89 peratus berbanding harga tawaran permulaannya (IPO), 38 sen sesaham.

Melalui IPO itu, Kee Ming berjaya mengumpul hasil RM25.32 juta melalui penerbitan 66.63 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 38 sen sesaham.

Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad,  Ir. Liew Kar Hoe  berkata, prestasi itu mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh terhadap keupayaan teknikal, rekod prestasi pelaksanaan dan prospek pertumbuhan jangka panjang Kee Ming.

“Penerimaan pasaran yang positif mengesahkan keyakinan pelabur terhadap kepakaran kejuruteraan, pelaksanaan yang berdisiplin dan strategi pertumbuhan kami. 

“Dengan dana yang dikumpul, kami berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan projek lebih besar dan lebih kompleks merentasi segmen elektrik, Sistem Penyaman Udara dan Pengudaraan Mekanikal (ACMV), perlindungan kebakaran dan berkaitan solar.

“Ia sekali gus sambil terus menyediakan penyelesaian kejuruteraan yang selamat, andal dan berkualiti tinggi. 

“Kami kekal komited untuk mewujudkan nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan kami,” katanya dalam kenyataan. 

Daripada hasil itu, sebanyak RM13 juta diperuntukkan untuk modal kerja projek untuk projek masa hadapan, bon prestasi untuk projek masa hadapan (RM4 juta),  pengembangan pasukan projek (RM1.72 juta) dan  pembelian sistem Perancangan Sumber Perusahaan (ERP) (RM1 juta). 

Selain itu, sebanyak RM600,000 pula untuk modal kerja am dan RM5 juta bagi membayar yuran dan perbelanjaan berkaitan dengan pelaksanaan IPO.

Sementata itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, kejayaan Kee Ming dalam pasaran ACE menonjolkan pengiktirafan pelabur terhadap rekod prestasi kumpulan yang kukuh, keupayaan kejuruteraan mekanikal dan elektrik (M&E) yang pelbagai dan pasukan pengurusan yang berpengalaman. 

“Dengan momentum industri yang dipacu pembangunan infrastruktur, pengembangan perindustrian dan tenaga boleh diperbaharui, Kee Ming berada pada landasan kukuh untuk pertumbuhan mampan. 

“TA Securities berbesar hati menyokong kumpulan dalam pencapaian ini,” ujarnya. 

TA Securities Holdings Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal untuk IPO ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd.. bertindak sebagai Penasihat Kewangan IPO tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN