KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih berada pada landasan yang kukuh dan dijangka memberi manfaat kepada pertumbuhan masa depan, sekali gus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 dijangka lebih baik daripada sasaran.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, semasa Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengeluarkan anggaran awal pada hujung tahun lalu, suku keempat diunjurkan berkembang sebanyak 5.7 peratus.
“Sekiranya angka tersebut dicapai, ini bermakna KDNK tahun lalu adalah lebih tinggi berbanding sasaran kerajaan antara 4.0 hingga 4.8 peratus.
“Namun, melihat kepada kerancakan ekonomi semasa, saya optimis angka sebenar yang akan diumumkan esok berkemungkinan lebih baik daripada sasaran,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Peluncuran Jana MyPesara di sini hari ini.
Beliau berkata, ini berdasarkan aliran pelaburan yang masuk ke dalam negara, aktiviti ekonomi yang semakin rancak serta tempahan (order book) dalam sektor pembuatan yang kekal kukuh.
“Selain itu, sektor peruncitan juga menunjukkan momentum positif,” ujarnya.
Mengulas mengenai program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), beliau berkata, setakat Selasa, lebih dua juta penerima telah menebus bantuan SARA bernilai RM100 dengan dana mencecah hampir RM200 juta.
“Perkembangan ini menunjukkan penerimaan yang amat baik terhadap SARA.
“Jika dibandingkan dengan pelancaran tahun lalu yang berdepan beberapa isu sistem, pelaksanaan kali ini berjalan lancar hasil penambahbaikan yang telah dilaksanakan lebih awal.
“Selain itu, skop penggunaan bantuan juga diperluaskan, termasuk peningkatan kategori barangan yang boleh dibeli.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini di Parlimen, usaha penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan inisiatif ini memberi manfaat berterusan kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN










