Kadar pengangguran lebih rendah, sokong pertumbuhan 2026

Kadar pengangguran lebih rendah, pelarasan gaji sokong pertumbuhan 2026

NEGARA menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion, menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran yang lebih rendah serta pelaksanaan fasa kedua pelarasan gaji penjawat awam dijangka membantu mengekalkan perbelanjaan isi rumah, yang seterusnya menyokong prospek pertumbuhan ekonomi pada 2026, menurut CGS International.

Firma penyelidikan berkata, ketibaan pelancong yang melebihi jangkaan pada 2025 turut memberi dorongan, dengan kerajaan dilaporkan mempertimbangkan untuk menyemak naik sasaran 47 juta pelawat bagi 2026.

“Dari sudut perdagangan, eksport nominal meningkat 11 peratus tahun ke tahun pada suku keempat berbanding 6.8 peratus pada suku sebelumnya, didorong oleh penghantaran sektor pembuatan yang lebih kukuh,” katanya dalam nota penyelidikan.

CGS International menjangkakan sektor pelancongan akan terus menyokong akaun semasa pada 2026, terutamanya susulan pelaksanaan program Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Walaupun pertumbuhan 6.3 peratus pada suku keempat adalah kukuh, pemerhati ekonomi berpendapat sebahagian lonjakan itu berpunca daripada faktor sementara, termasuk peningkatan pengeluaran minyak sawit serta perbelanjaan penggunaan kerajaan yang mencatat paras tertinggi sejak suku kedua 2021.

“Penggunaan swasta pula tidak berkembang sepantas jangkaan, walaupun disokong oleh subsidi bahan api berterusan dan persekitaran inflasi yang rendah.

“Sehubungan itu, pertumbuhan dijangka menyederhana pada 2026, namun kekal berdaya tahan,” katanya. 

CGS International berkata, S&P Global menyatakan prospek Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia telah stabil dengan tahap keyakinan perniagaan antara yang tertinggi dalam tempoh 12 tahun.

Tambahnya, World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) pula mengunjurkan jualan semikonduktor global meningkat 25 peratus, selari dengan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan kitaran peningkatan berterusan dalam sektor elektronik.

Secara keseluruhan, CGS International menjangkakan Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang mampan pada 2026, disokong oleh pemulihan sektor pelancongan, pasaran buruh yang kukuh serta permintaan eksport yang semakin pulih.

Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan Malaysia berkembang 6.3 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2025, mengatasi anggaran awal pada 5.7 peratus. Prestasi kukuh tersebut disokong terutamanya oleh pertumbuhan memberangsangkan pada Oktober dan Disember 2025. 

Bagaimanapun, dari segi suku ke suku berasaskan pelarasan bermusim, ekonomi menyederhana kepada 0.8 peratus berbanding 2.7 peratus pada suku sebelumnya.

Secara keseluruhan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 berkembang 5.2 peratus, sedikit lebih tinggi berbanding 5.1 peratus yang dicatatkan pada 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×