IPPFA unjur KDNK 2026 pada paras 4.6%

IPPFA unjur KDNK 2026 pada paras 4.6%

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IPP Financial Advisers (IPPFA) menyemak naik unjuran pertumbuhan ekonomi tahun ini kepada 4.6 peratus, didorong oleh momentum permintaan domestik yang kukuh serta kestabilan dasar makroekonomi negara yang semakin jelas.

Semakan dalam tinjauan suku tahunan terbaharu firma berkenaan menyaksikan peningkatan unjuran tersebut berbanding ramalan sebelum ini. 

Ia susulan pengesahan data akaun nasional yang menunjukkan prestasi luar biasa ekonomi pada penghujung 2025 sebenarnya dipacu oleh faktor dalaman yang mampan, bukannya bergantung kepada kitaran permintaan luar semata-mata.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPPFA, Mohd Sedek Jantan berkata, data terbaharu mengesahkan bahawa momentum pertumbuhan Malaysia kini lebih berpaksikan kekuatan domestik yang merentasi sektor penggunaan isi rumah, perbelanjaan awam dan pelaburan.

“Semakan suku tahunan ini mencerminkan transmisi yang lebih kuat merentasi ekonomi domestik. Kestabilan dasar, daya tahan pasaran buruh serta disiplin pasaran yang berterusan menjadi sauh utama kepada prospek ekonomi bagi tahun 2026,” katanya dalam satu kenyataan. 

Mengulas mengenai prospek harga barang, IPPFA berkata, kadar inflasi utama (CPI) dijangka akan terus mendatar pada paras 2.2 peratus sepanjang tahun ini. 

“Walaupun inflasi perkhidmatan dijangka kekal sederhana kukuh berikutan struktur kos buruh dan normalisasi upah, langkah fiskal bersasar kerajaan dilihat berjaya mengekang kesan pusingan kedua, sekali gus memelihara kestabilan harga secara keseluruhan.

“Seiring dengan tekanan inflasi yang terkawal, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus sepanjang 2026. 

“Dasar monetari ini mencerminkan kadar faedah riil yang positif tanpa tekanan permintaan yang berlebihan, manakala sebarang pelarasan pada masa hadapan akan bergantung kepada trajektori dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan keadaan kewangan global,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Sedek turut menaikkan sasaran akhir tahun FBM KLCI kepada 1,820 mata berbanding 1,740 mata sebelum ini. 

“Prestasi pasaran dijangka lebih selektif dengan memberi keutamaan kepada sektor domestik seperti perbankan, sektor pengguna yang mendapat manfaat daripada Tahun Melawat Malaysia 2026, serta tema pelaburan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya. 

Mengenai kedudukan mata wang tempatan, beliau berkata, nilai ringgit dijangka kekal stabil hasil daripada fundamental domestik yang kuat dan kredibiliti dasar negara. 

Walaupun ringgit diramal bergerak dalam julat kecil, IPPFA tidak menolak kemungkinan ia boleh mengukuh ke paras RM3.75 berbanding sedolar AS sekiranya sentimen risiko global bertambah baik dan disokong oleh jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS.

“Walaupun ketidaktentuan global kekal menjadi kekangan, Malaysia melangkah ke tahun 2026 dengan pangkalan pertumbuhan dalaman yang lebih mantap. Persekitaran ini menyokong peluang terpilih dalam sektor berpaksikan domestik serta mengukuhkan kestabilan makro dan kewangan negara,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN