Infobip sasar komunikasi ejen autonomi matang menjelang 2030

Infobip sasar komunikasi ejen autonomi matang menjelang 2030

SILVIO KUTIC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform komunikasi awan global, Infobip menyasarkan rantau Asia Pasifik (APAC) sebagai penggerak utama fasa baharu penglibatan pelanggan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan ejen autonomi.

Syarikat itu menjangka komunikasi ejen ke ejen secara autonomi sepenuhnya akan menjadi berdaya maju menjelang 2030, selaras dengan kematangan keupayaan teknologi tersebut dalam pasaran global.

Ketua Pegawai Eksekutif Infobip, Silvio Kutić berkata, landskap komunikasi antara jenama dan pelanggan kini beralih daripada khidmat pesanan ringkas (A2P) kepada interaksi yang lebih pintar dan kontekstual.

“Dalam dunia AI berasaskan ejen ini, jenama perlu merebut peluang untuk memanfaatkan hiper pemperibadian serta saluran komunikasi seperti perkhidmatan komunikasi aneka (RCS) dan WhatsApp bagi memastikan pengalaman pelanggan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan.

Ditubuhkan pada 2006, Infobip yang kini meraikan ulang tahun ke-20 telah berkembang daripada sebuah syarikat pemula kepada platform komunikasi global yang menyokong perusahaan merentas pelbagai industri.

Menurut syarikat itu, ekonomi digital APAC yang pesat berkembang serta dominasi pengguna mudah alih mempercepatkan peralihan ke arah penglibatan masa nyata yang lebih pintar merentasi pelbagai saluran.

Sementara itu, Naib Presiden dan Pengurus Besar APAC dan Eurasia Infobip, Ruslana Reznikova berkata, rantau ini merupakan antara pasaran paling dinamik dalam aspek penglibatan digital pelanggan.

“Perniagaan di rantau ini pantas mengadaptasi cara baharu untuk berhubung dengan pelanggan, di mana pemesejan kini menjadi teras pengalaman pelanggan dan bukan sekadar saluran komunikasi biasa,” katanya. 

Tambah beliau, organisasi kini semakin memberi tumpuan kepada usaha menghubungkan data dan sistem dengan lebih baik supaya dapat memberi respons mengikut konteks yang tepat.

“Mereka yang melaksanakannya secara berkesan akan berada pada kedudukan lebih kukuh apabila penglibatan disokong AI menjadi kebiasaan dalam interaksi harian pada masa hadapan,” tambahnya. 

Sepanjang dua dekad beroperasi, Infobip telah menyokong organisasi dalam setiap gelombang perubahan teknologi, daripada pemesejan asas kepada interaksi omnichannel dan masa nyata.

Menurutnya, pencapaian 20 tahun itu menjadi asas penting untuk mempersiapkan perniagaan menghadapi fasa hubungan pelanggan yang lebih berbentuk perbualan dan dipacu oleh interaksi pintar berasaskan ejen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN