KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit Malaysia kini berada dalam ‘fasa krisis’ apabila tersepit antara tekanan kos pengeluaran yang kian meningkat dan persaingan sengit daripada minyak soya yang semakin dominan di pasaran global.
Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie Berhad, Mohd. Haris Mohd. Arshad berkata, kelebihan minyak sawit sebagai minyak sayuran paling kompetitif dari segi harga kini mula terancam apabila bekalan minyak soya dijangka mengatasi minyak sawit selepas tahun 2026.
Menurut beliau, produktiviti minyak sawit berbanding minyak soya menunjukkan trend penurunan yang membimbangkan dalam tempoh 15 tahun kebelakangan ini.
“Dahulu kita bangga mengatakan minyak sawit lapan ke 10 kali ganda lebih produktif berbanding soya, namun angka itu kini menyusut kepada hanya empat ke enam kali ganda.
“Malah, buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun, kita menyaksikan situasi luar biasa di mana minyak sawit didagangkan pada harga premium yang lebih mahal berbanding minyak soya. Ini berlaku kerana bekalan soya yang melimpah, manakala pengeluaran sawit kita kekal statik,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi panel ‘The Next Decade for Malaysian Palm Oil’ bersempena Persidangan dan Pameran Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik (POC) 2026 anjuran Bursa Malaysia di sini, semalam.
Mengulas mengenai faktor dalaman, Mohd. Haris berkata, kegagalan industri melakukan penanaman semula (replanting) secara agresif menjadi punca utama kenaikan kos yang tidak terkawal.
Jelas beliau, kadar penanaman semula di Malaysia ketika ini hanya sekitar dua peratus, jauh lebih rendah berbanding kadar optimum lima peratus setahun.
“Secara matematik, kadar dua peratus ini bermakna kita membiarkan pokok kelapa sawit mencecah usia 50 tahun sebelum ditebang. Pokok yang tua bermakna ia lebih tinggi, buahnya kurang dan kos menuainya jauh lebih mahal.
“Kita tidak boleh mengawal harga pasaran, tetapi kita boleh mengawal kos. Malangnya, kita sangat perlahan dalam melakukan penanaman semula dan terlalu bergantung kepada buruh asing,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemain industri digesa untuk beralih kepada mekanisasi bagi mengurangkan kebergantungan pekerja serta penggunaan bahan tanaman (planting materials) yang lebih berkualiti.
Katanya, penggunaan teknologi mekanisasi mampu mengurangkan jumlah pekerja sekali gus menjimatkan kos operasi sehingga RM12 juta setahun bagi setiap 10,000 hektar kawasan ladang.
“Isu utama kita adalah kebergantungan kepada buruh asing yang merupakan kos terbesar selain baja. Jika kita tidak menangani masalah pokok tua dan kos buruh ini, saya bimbang keuntungan industri akan terus merosot di tengah-tengah hasil yang mendatar,” ujarnya.
Tambah beliau, situasi industri hari ini yang mendatar adalah berpunca daripada kegagalan proses penanaman semula di peringkat pekebun kecil ini.
“Kelapa sawit sebenarnya bukanlah tanaman yang sesuai untuk pekebun kecil dalam jangka masa panjang jika isu penanaman semula tidak ditangani. Mereka memerlukan bantuan, sama ada daripada kerajaan atau kerjasama syarikat-syarikat besar.
“Kita semua tahu penanaman semula itu perlu, tetapi persoalannya sekarang, apakah mekanisme bantuan yang ada untuk membolehkan mereka melakukannya? Kita perlu cari jalan penyelesaian segera,” tambahnya. – UTUSAN










