ALOR SETAR: Sepasang suami isteri terus mengekalkan harga burger RM2 sejak tujuh tahun lalu hingga mampu mencatatkan jualan kira-kira 300 biji sehari.
Meskipun dijual pada harga murah, Norhisham Ashar, 43, dan Siti Rohayu Md. Saad, 41, tidak pernah berkompromi soal kualiti apabila masih menggunakan bahan mentah yang setara dengan burger lain di pasaran.
Norhisham berkata, jualan yang konsisten dan permintaan tinggi membolehkan mereka tetap meraih keuntungan meskipun harga lebih rendah.
“Dengan harga RM2, saya mampu menjual sehingga 300 biji sehari dan dari situ masih ada keuntungan. Paling penting, pelanggan juga untung kerana dapat menikmati burger pada harga mampu milik.
“Walaupun murah, saya tetap gunakan bahan mentah yang sama seperti peniaga burger lain. Alhamdulillah, secara tidak langsung saya dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di gerainya di Taman Sophia di sini semalam.
Menurutnya, gerai berkenaan beroperasi setiap hari bermula pukul 5 petang hingga habis jualan, kecuali Jumaat dengan kebanyakan burger habis dijual dalam tempoh dua jam.
“Selepas waktu bekerja, memang ramai singgah. Selain jualan harian, saya juga menerima tempahan untuk majlis seperti kenduri yang mencecah sehingga 500 biji,” katanya.
Katanya, burger daging dan ayam biasa dijual pada harga RM2 sementara yang istimewa iaitu ditambah keju atau telur dari RM3 hingga RM5.
Norhisham berkata, perniagaan itu dimulakan pada 2019 di Kampung Berjaya, sebelum berpindah ke lokasi baharu susulan penutupan premis perniagaan di kawasan tersebut. – utusan










