Hong Leong Islamic Bank sokong PKS sektor halal dalam peralihan hijau

Hong Leong Islamic Bank sokong PKS sektor halal dalam peralihan hijau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Islamic Bank (HLISB) menyertai inisiatif Penghijauan Perniagaan Halal (GHB) Bank Negara Malaysia (BNM), selaras dengan komitmennya untuk menyokong dan menjamin masa depan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor halal.

Program yang disokong oleh Kementerian Kewangan (MOF), Bank Pembangunan Islam dan Bank Dunia ini bertujuan untuk menyokong PKS dalam peralihan hijau mereka sambil memperkukuh daya saing mereka di pasaran global.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, HLISB telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan Pantas, platform pengurusan karbon dan pelaporan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang didayakan kecerdasan buatan (AI).

Melalui kerjasama ini, HLISB akan melengkapkan pelanggan PKS mereka dengan perisian perakaunan karbon khusus dan program pembinaan kapasiti yang komprehensif, membolehkan perniagaan menjejaki dan melaporkan pelepasan gas rumah hijau secara langsung dan tidak langsung dengan tepat.

Selain itu, pelanggan juga boleh memohon subsidi sehingga RM5,000 untuk langganan eksklusif, yang dibiayai oleh peruntukan MOF sebanyak RM15 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif HLISB, Dafinah Ahmed Hilmi berkata,inisiatif ini merupakan asas strategi bank untuk meningkatkan ekosistem halal Malaysia.

Katanya, dengan memperkasakan PKS halal untuk mengintegrasikan amalan ESG ke dalam operasi teras mereka, bank bukan sahaja meningkatkan nilai pasaran mereka tetapi juga memperkukuh pematuhan syariah mereka.

“Matlamat kami adalah untuk menyediakan pelan tindakan untuk masa depan yang memastikan pengawasan alam sekitar dan kecemerlangan patuh syariah berjalan seiring.

“Memandangkan perdagangan global dan pelaburan asing semakin mengutamakan tindakan iklim, kami komited untuk memastikan perniagaan halal kami berdaya tahan, boleh dipasarkan dan berada di barisan hadapan peralihan hijau global,” katanya dalam kenyataan.

Bermula 2026, inisiatif GHB berkembang untuk menawarkan peluang pembiayaan hijau khusus bagi membiayai projek-projek tertentu yang sejajar dengan ESG, sekali gus menjadikan pelan tindakan kemampanan menjadi kenyataan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN