KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, Heritage Valley tampil menganjurkan bufet ramadan berkolaborasi bersama Lombok Salai dari Tampin, Negeri Sembilan dengan tawaran harga bermula daripada RM44 untuk kanak-kanak, manakala RM88 untuk dewasa.
Pemilik Lomak Salai Tampin, Shariffuddin Bujang berkata, pihaknya mahu membawa tetamu merasai suasana seolah-olah berbuka di kampung, lengkap dengan juadah tradisi yang semakin jarang dinikmati masyarakat bandar.
“Ini kali pertama pengurusan Heritage Valley berkolaborasi secara rasmi. Sebenarnya sudah lama Pak Din mengajak kami bekerjasama dan tahun ini kami realisasikan untuk membawa ‘vibe kampung’ ke Kuala Lumpur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelas beliau, konsep utama kolaborasi ini adalah membawa masakan asli dari kampung terus ke ibu kota tanpa mengubah identiti asalnya.
“Bukan di sini (Kuala Lumpur) tiada makanan kampung, tetapi kami mahu keaslian itu datang terus dari kampung. Bukan masak di KL dan jadikan konsep kampung, tetapi benar-benar dimasak di sana dan dibawa ke sini supaya orang KL dapat rasa makanan original,” jelasnya.
Shariffuddin berkata, semua hidangan utama dimasak di Tampin oleh tenaga masak terdiri daripada orang lama yang mengekalkan resipi tradisional.
“Walaupun jarak perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam, pihak pengurusan komited mengekalkan kualiti dengan penghantaran harian ke Kuala Lumpur.
“Antara menu istimewa yang dibawa termasuk daging salai, itik salai serta pelbagai hidangan makanan salai yang sememangnya terkenal di lokasi asal mereka,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Heritage Valley Kuala Lumpur, Idi Iskandar berkata, konsep di Heritage Valley bukan sekadar menampilkan Lomak Salai sahaja, malah turut menghimpunkan kira-kira lapan vendor makanan lain.
“Antara juadah tradisional yang boleh dinikmati termasuk ayam kampung, satey dan aneka kuih kampung, di samping pilihan antarabangsa seperti aneka pasta Itali, soto Betawi dan bakso Indonesia, serta hidangan barat seperti chicken grill dan chicken chop.
“Heritage Valley ini mampu menampung sehingga 300 tetamu dalam satu masa, dengan kemudahan mesra pengunjung seperti parkir percuma, ruang solat yang luas dan selesa, serta persekitaran berbuka yang mesra keluarga,” katanya.
Bagi menambah kemeriahan, Ramadan Night Market akan berlangsung setiap hujung minggu, menampilkan gerai makanan tradisional serta persembahan muzik busking yang menghidupkan suasana bazar Ramadan.
Menjelang Syawal, Heritage Valley turut merancakkan suasana dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk Bazaar Raya Poernama Lebaran oleh Poernama Fest, program kacau dodol, aktiviti menganyam ketupat, serta elemen kampung di tengah kota. – UTUSAN










