Had harga baharu boleh melambatkan pengguna EV

Had harga baharu boleh melambatkan penggunaan EV

POIN pengecas EV. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TATKALA peralihan kepada mobiliti elektrik banyak dipacu oleh faktor kemampuan harga, langkah yang mengehadkan akses kepada model kenderaan elektrik (EV) mampu milik berpotensi memperlahankan kemasukan pengguna baharu ke dalam pasaran.

Penetapan had harga minimum RM250,000 bagi EV import sepenuhnya (CBU) menimbulkan persoalan tentang kesannya terhadap kadar penerimaan EV dalam kalangan pengguna Malaysia. 

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, langkah menetapkan tarif keatas EV CBU ini adalah tidak sejajar dengan pelan kerajaan yang menekankan penerimaan teknologi hijau dalam agenda pembangunan negara. 

Katanya, pendekatan tersebut tidak selari dengan penekanan kerajaan terhadap penerimaan teknologi rendah karbon seperti yang terkandung dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Induk Ekonomi Baharu (NIEP) dan dasar berkaitan.

“Walaupun langkah itu bertujuan menggalakkan penubuhan kilang pemasangan kenderaan elektrik tempatan khususnya di Tanjung Malim, Perak, namun pendekatan berbentuk sekatan pasaran berisiko memperlahankan penggunaan EV dalam kalangan pengguna.

“Dasar yang mengehadkan akses kepada model EV mampu milik tidak seiring dengan matlamat memperluas penggunaan teknologi hijau dalam ekonomi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, pasaran terbuka lebih berkesan untuk merangsang inovasi, tanpa perlu melindungi pengeluar tempatan seperti yang sedia ada pada kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) sekarang iaitu ia mewujudkan kebergantungan sepenuhnya kepada dasar kerajaan untuk kekal kompetitif.

Tambahnya, ini akhirnya memberi kesan kepada pengguna yang terpaksa menanggung harga lebih tinggi dalam pasaran yang kurang kompetitif.

“Kesilapan dasar dalam industri ICE tidak perlu diulangi dalam pembangunan industri EV,” jelasnya.

Beliau berkata, jualan EV di Malaysia mencatatkan lonjakan drastik pada 2025, dengan pendaftaran meningkat lebih 100 peratus kepada lebih sehingga 44,813 unit berdasarkan data Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Jelasnya, pertumbuhan ini didorong oleh insentif kerajaan (pengecualian cukai CBU) dan model popular seperti BYD, Proton eMas 7 dan Tesla. 

“Walaupun 2025 adalah tahun perkembangan EV yang terbaik, namun pasaran dijangka memasuki ‘fasa realiti’ pada 2026, iaitu permintaan mungkin perlahan selepas tamat insentif yang diberikan kepada semua EV. 

“Ini terbukti dengan Proton muncul sebagai jenama EV paling laris di Malaysia pada Januari 2026, memintas pengeluar antarabangsa, BYD. Berdasarkan data pendaftaran terbaharu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Proton merekodkan 3,276 unit pendaftaran EV bagi bulan berkenaan, jauh mengatasi BYD (913 unit) dan Zeekr (489 unit). 

“Perodua, pula hanya menerima 205 tempahan EV pada Januari berikutan harga model yang lebih tinggi berbanding tawaran Proton. Jelas sokongan dari insentif kerajaan memberi kelebihan jelas kepada Proton dalam menawan pasaran EV tempatan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Proton tidak boleh terlalu selesa seperti apa yang berlaku sebelum ini iaitu Proton menjadi penjual kenderaan paling laris, namun Perodua telah mengambil alih kedudukan tersebut dalam masa beberapa tahun sahaja penubuhannya. 

“Sama ada dasar perlindungan kerajaan ini akan menyebabkan peralihan daripada ICE kepada EV bergantung kepada pembangunan infrastruktur sokongan seperti stesen pengecas dan ekosistem seperti bateri, alat ganti dan kemahiran mekanikal termasuklah bengkel persendirian.

“Pengguna Malaysia juga mungkin terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan EV CBU yang mempunyai teknologi yang lebih canggih pada masa terdekat, sesuai dengan perkembangan industri kende­raan EV yang begitu pesat,” jelasnya.

Dalam pada itu, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, syarat baharu tersebut dapat mengehadkan penawaran berharga mampu milik menyusut tepat pada kelompok pengguna yang paling peka harga.

Beliau berkata, setiap EV yang tertangguh mengekalkan ICE tambahan di jalan raya. 

“Jika andaikan 10,000 EV hilang atau tertangguh akibat polisi ini pada 2026 iaitu kira-kira satu peratus hingga 1.5 peratus jumlah keseluruhan industri  (TIV) dan setiap EV mengelakkan kira-kira 1.2 hingga 1.6 tan karbon dioksida (tCO2) setahun berbanding ICE dalam grid sedia ada, maka emisian tertunda adalah 12 hingga 16 kilotan CO2/tahun. 

“Malaysia mempunyai aspirasi untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050. Memperlahankan penembusan EV meningkatkan kos marginal mitigasi sektor pengangkutan dan memindahkan beban ke sektor lain seperti tenaga boleh baharu (TBB), kecekapan tenaga (EE) dan  penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), yang lazimnya lebih mahal jika dikerah dengan cepat,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×