Farmasi CARiNG angkat karya pelukis autistik untuk Sampul Raya 2026 - Utusan Malaysia

Farmasi CARiNG angkat karya pelukis autistik untuk Sampul Raya 2026

WONG Siew Lai (kiri) menunjukkan koleksi Sampul Raya 2026 Farmasi CARiNG bersama pelukis visual autistik, Danial Kushairi dan ibunya, Rohani Ahmad pada majlis pelancarannya, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Farmasi CARiNG, Farmasi Georgetown dan Farmasi Wellings di bawah Kumpulan BIG CARiNG melancarkan koleksi Sampul Raya 2026 hasil kolaborasi bersama pelukis visual autistik tempatan, Danial Kushairi.

Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kumpulan farmasi berkenaan dalam menyokong bakat neurodivergen serta memupuk komuniti yang lebih inklusif menerusi ekspresi kreatif.

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan BIG CARiNG, Wong Siew Lai berkata, kerjasama itu mencerminkan usaha mereka dalam menyediakan platform bermakna bagi mengiktiraf kreativiti sebagai bentuk ekspresi yang berkuasa.

“Karya Danial membawa keaslian, perspektif dan kegembiraan. Kami berasa bangga dapat berkongsi bakat beliau dengan masyarakat dalam cara yang meraikan musim perayaan sekali gus menekankan kepentingan inklusiviti.

“Ini adalah kesinambungan kepada inisiatif kalendar 2026 dan rekaan sampul raya tahun lalu yang turut menampilkan karya artis neurodivergen. Kami percaya platform konsisten seperti ini dapat membina keyakinan diri mereka,” katanya di sini, semalam. 

Koleksi tersebut diperkenalkan semasa majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Shifa, Setapak, semalam. 

Dua karya asal Danial iaitu Kampung Dalam Hutan dan Kampung by the Pond I telah diadaptasi kepada dua reka bentuk eksklusif Sampul Raya yang akan diagihkan kepada pelanggan di seluruh negara.

Sementara itu, ibu kepada Danial, Rohani Ahmad menyifatkan seni sebagai ‘suara’ bagi kanak-kanak neurodivergen untuk meluahkan perasaan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

“Kolaborasi seperti ini bukan sahaja mempamerkan bakat mereka kepada dunia, malah memberi pengesahan bahawa perspektif mereka dihargai. Kami berterima kasih kepada pihak farmasi kerana terus memberi ruang kepada artis muda ini untuk diraikan,” katanya.

Danial Kushairi dikenali dengan penggunaan warna yang bertenaga serta tema berunsurkan alam semula jadi dan warisan budaya, yang mana hasil seninya sering mencerminkan keharmonian dan optimisme.

Sampul Raya eksklusif 2026 ini boleh didapati di semua cawangan Farmasi CARiNG, Georgetown dan Wellings di seluruh negara dengan pembelian minimum RM30 dalam satu resit, sementara stok masih ada. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN