PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 (suku ketiga 2025: 5.4 peratus), didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.
Pertumbuhan itu lebih tinggi dari anggaran awal yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.7 peratus.
Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan perbelanjaan isi rumah lebih tinggi, didorong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta sokongan dasar berkaitan pendapatan.
Katanya, pertumbuhan pelaburan yang kukuh disokong oleh perbelanjaan jentera dan kelengkapan yang lebih teguh, khususnya untuk pusat data serta pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam.
“Dalam sektor luaran, eksport terus mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, didorong terutamanya oleh eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih teguh.
“Pelancongan ke dalam negeri serta perkhidmatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut menyumbang kepada pertumbuhan eksport perkhidmatan serta lebihan dalam imbangan akaun semasa,” katanya dalam kenyataan
Sementara itu, import kekal utuh, didorong oleh import barangan perantaraan yang kembali pulih bagi menyokong kegiatan ekonomi serta import barangan modal berkaitan produktiviti yang mencerminkan pelaksanaan projek pelaburan yang sedang dijalankan.
Dari segi penawaran, BNM berkata, pertumbuhan disumbangkan terutamanya oleh pengembangan dalam sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Jelasnya, pertumbuhan yang lebih tinggi dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya dipacu oleh subsektor berkaitan pengguna, perkhidmatan kerajaan serta subsektor ICT susulan pengoperasian pusat data.
“Dalam sektor perkilangan, prestasi sektor ini dipacu oleh peningkatan pengeluaran dalam subsektor E&E berikutan permintaan yang lebih tinggi susulan pengembangan teknologi global, serta pengeluaran barangan berkaitan pengguna yang meningkat.
“Sementara itu, sektor pertanian mencatatkan prestasi yang lebih baik, mencerminkan pertumbuhan yang lebih tinggi bagi pengeluaran minyak sawit berikutan kejadian banjir yang kurang teruk berbanding tahun sebelumnya. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.8 peratus,” jelasnya.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh serta eksport yang menggalakkan, sekali gus melebihi julat unjuran antara empat peratus hingga 4.8 peratus.
“Momentum pertumbuhan ini dijangka berterusan pada tahun 2026, disokong oleh permintaan dalam negeri dan eksport yang berdaya tahan,” ujarnya.
Di dalam negeri, beliau berkata, perbelanjaan isi rumah akan mendapat manfaat daripada sokongan berterusan melalui pertumbuhan guna tenaga dan upah, serta langkah-langkah dasar kerajaan.
Jelasnya, aktiviti pelaburan akan dipacu oleh projek berbilang tahun yang terus dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, berserta dengan pelaburan diluluskan yang terus direalisasikan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah pelan induk nasional dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
“Dari segi faktor luaran, pertumbuhan eksport akan disokong oleh permintaan global yang stabil, terutamanya bagi barangan E&E. Pertumbuhan juga akan disokong oleh peningkatan aktiviti pelancongan susulan pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026,” ujarnya.
Pada masa hadapan, BNM berkata, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada tahun 2026 berikutan keadaan kos global yang terus reda.
Tambahnya, prospek harga komoditi yang sederhana akan membantu membendung tekanan kos terhadap inflasi.
“Inflasi teras dijangka kekal stabil secara amnya dan hampir kepada purata jangka panjangnya pada tahun 2026, mencerminkan pengembangan kegiatan ekonomi yang berterusan serta ketiadaan tekanan yang berlebihan terhadap permintaan.
“Pelaksanaan pembaharuan dasar dalam negeri pada tahun 2025, seperti peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan rasionalisasi subsidi RON95 secara bersasar, dijangka memberikan kesan sederhana terhadap inflasi pada tahun 2026,” katanya. – UTUSAN










