Ekonomi Malaysia kekal kukuh, dalam zon pemulihan - Utusan Malaysia

Ekonomi Malaysia kekal kukuh, dalam zon pemulihan

KDNK Malaysia tahun ini dijangka berkembang sederhana pada 4.5 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia mengekalkan momentum ekonomi yang kukuh apabila IPP MY36 Thermometer (MET) mencatat bacaan 85.75 peratus pada Januari dipacu oleh pengukuhan permintaan domestik serta peningkatan keyakinan ekonomi yang semakin berasaskan faktor struktur.

MET merupakan penunjuk ekonomi bulanan yang merumuskan 13 petunjuk ekonomi dan kewangan berdasarkan trend dalam tempoh tiga tahun.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Financial Advisers (IPPFA), Mohd. Sedek Jantan berkata, ia sekali gus mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara ini berada dalam zon pemulihan.

“Kita melihat pertumbuhan dipacu oleh pekerjaan, penggunaan dan pendapatan berulang, manakala keadaan kewangan memainkan peranan menyokong secara berdisiplin. Ini adalah ciri utama pengembangan sihat pada fasa awal kitaran.

“Dengan permintaan domestik menjadi tunjang kukuh dan sektor luaran mula stabil, Malaysia memasuki 2026 dengan profil pertumbuhan yang lebih seimbang dan berdaya tahan.

“Jika trajektori ini berterusan, tahun ini berpotensi menjadi satu lagi tahun yang kukuh bagi ekonomi, ditakrifkan oleh ketahanan dan bukannya lebihan,” katanya dalam kenyataan.

Walaupun sedikit lebih rendah berbanding paras tertinggi Disember, bacaan itu mengesahkan pertumbuhan berterusan dengan lancar memasuki tahun baharu, menandakan proses penyatuan pada tahap tinggi dan bukannya kehilangan momentum.

Beliau berkata, data terbaharu menunjukkan Malaysia terus mengekalkan pemulihan pada fasa awal, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh yang kukuh serta keadaan kewangan yang semakin mengukuhkan asas ekonomi, bukannya menjejaskannya.

“Prestasi Januari turut mencerminkan peningkatan kualiti pertumbuhan.

“Perbelanjaan isi rumah kekal teguh, disokong pendapatan yang stabil dan pertambahan peluang pekerjaan, dengan kadar pengangguran menyusut ke paras terendah kitaran sebanyak 2.9 peratus.

“Aktiviti borong dan runcit kekal tinggi, manakala pertumbuhan kredit berada pada tahap sihat dan tidak bersifat spekulatif,” ujarnya.

Beliau berkata, keadaan sektor pembuatan pula stabil pada paras tinggi, sementara eksport yang lebih kukuh serta lebihan dagangan yang semakin melebar menunjukkan permintaan luar kini mula melengkapi momentum domestik, bukan lagi menjadi faktor penghalang.

“Ini menggambarkan profil pengembangan yang lebih seimbang ketika Malaysia melangkah lebih jauh ke tahun 2026.

“Berbeza dengan fasa awal sebelum ini apabila keadaan kewangan memainkan peranan penstabil yang dominan, pemulihan semasa semakin berteraskan dinamik ekonomi sebenar.

“Pekerjaan, penggunaan dan aliran pendapatan berulang kini menjadi enjin pertumbuhan utama dalam kerangka MY36, sekali gus mengurangkan risiko pembalikan mendadak atau pemulihan palsu,” jelasnya.

Dalam masa sama, keadaan kewangan kekal menyokong dengan ringgit yang stabil, hasil bon yang terkawal dan kadar dasar yang tidak berubah, memastikan aliran kredit berjalan teratur serta mengekalkan kuasa beli sebenar ketika inflasi masih berada dalam julat toleransi dasar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN