PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada 2025, melebihi pencapaian 5.1 peratus pada tahun 2024, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Prestasi tersebut disokong oleh Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang berkembang 6.3 peratus pada suku tahun keempat 2025 berbanding 5.4 peratus pada suku tahun sebelumnya, pertumbuhan tertinggi sejak suku tahun keempat 2022 yang direkodkan sebanyak 7.4 peratus.
Pertumbuhan yang lebih tinggi ini turut mengatasi anggaran KDNK awalan suku tahun keempat 2025 sebanyak 5.7 peratus, mencerminkan momentum ekonomi yang lebih kukuh berbanding jangkaan awal.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi pada suku tahun keempat terus disokong oleh pengukuhan permintaan domestik dipacu oleh aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti persekolahan.
Katanya, ia juga dipacu oleh peningkatan perbelanjaan persekolahan susulan pelarasan kalendar akademik 2026, perbelanjaan perayaan, kestabilan pasaran buruh serta aktiviti pelaburan yang berterusan.
“Aktiviti ekonomi pada suku tahun ini turut diperkukuh oleh penganjuran ratusan mesyuarat, persidangan dan program antarabangsa selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Pada masa yang sama, perkembangan pesat aktiviti pusat data telah menyumbang secara signifikan kepada peningkatan pelaburan dan aktiviti pembinaan.
“Perkembangan ini turut merangsang pertumbuhan subsektor utiliti dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), meningkatkan prestasi eksport negara dan mencipta peluang pekerjaan.
“Justeru, memperkukuh ekosistem digital negara dan menyokong pengembangan rantaian nilai ekonomi yang lebih luas serta berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, prestasi yang lebih baik pada suku tahun ini juga disokong oleh pertumbuhan positif semua sektor utama ekonomi, terutamanya sektor perkhidmatan yang berkembang 6.3 peratus (suku ketiga 2025: 5.5 peratus).
Jelasnya, pertumbuhan ini disumbangkan oleh prestasi perdagangan borong dan runcit yang meningkat 5.7 peratus, dipacu oleh perdagangan borong (6.5 peratus), perdagangan runcit (4.5 peratus) dan kenderaan bermotor yang melonjak kepada 8.3 peratus.
“Subsektor maklumat dan komunikasi turut mencatatkan pertumbuhan kukuh 8.9 peratus, didorong terutamanya oleh perkhidmatan komputer dan maklumat, susulan daripada perkembangan awal operasi pusat data yang menyokong permintaan terhadap pengkomputeran awan, penyimpanan dan pemprosesan data,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pertumbuhan 5.4 peratus pada suku tahun ketiga 2025 telah disemak semula daripada 5.2 peratus, berikutan pengemaskinian data terkini khususnya perkembangan aktiviti pusat data dan penambahbaikan indikator ekonomi lain.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, prospek ekonomi Malaysia pada tahun 2026 dijangka terus kukuh, disokong oleh permintaan domestik khususnya perbelanjaan isi rumah dan aktiviti pelaburan.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka menjadi pemangkin utama kepada pengembangan sektor perkhidmatan, sekali gus meningkatkan sumbangan pelancongan kepada KDNK negara melalui pertambahan ketibaan pelancong, perbelanjaan domestik serta aktiviti berkaitan seperti pengangkutan, penginapan dan peruncitan.
“Pada masa yang sama, aktiviti pusat data terus berkembang sebagai industri strategik, disokong oleh pelaburan berintensif modal, ketersediaan infrastruktur digital dan bekalan tenaga yang stabil.
“Rangkaian projek yang kukuh ini bukan sahaja menarik pelaburan berskala besar, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta merangsang permintaan dalam subsektor utiliti, ICT dan perkhidmatan profesional,” jelasnya. – UTUSAN










