ComTech Gold, PeerHive perkenal pembiayaan berlandaskan emas - Utusan Malaysia

ComTech Gold, PeerHive perkenal pembiayaan berlandaskan emas

JIGNESH Ved (kiri) dan Vincent Yeo semasa pertukaran memorandum persefahaman (MoU).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Platform emas digital, ComTech Gold (CGO) menjalin kerjasama strategik dengan penyedia pembiayaan, PeerHive bagi memperkenalkan penyelesaian pembiayaan bersandarkan emas untuk pelabur Malaysia. 

Kerjasama ini membolehkan pelabur memperoleh kecairan tunai tanpa perlu menjual pegangan emas.

Kerjasama tersebut dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang membolehkan pemegang Token CGO menggunakan pegangan emas mereka sebagai cagaran untuk mendapatkan pembiayaan melalui PeerHive, sambil mengekalkan pemilikan benefisial terhadap aset berkenaan.

Inisiatif itu menangani cabaran lazim dalam kalangan pelabur emas di negara ini yang terpaksa memilih antara menyimpan emas sebagai aset jangka panjang atau melupuskannya bagi memenuhi keperluan tunai jangka pendek.

Token CGO disokong sepenuhnya oleh emas fizikal 24 karat yang disimpan dalam peti simpanan terkawal dan dilindungi insurans, dengan setiap token mewakili satu gram emas tulen 99.99 peratus.

Pengasas ComTech Gold, Jignesh Ved berkata, kerjasama itu memberi fleksibiliti lebih besar kepada pelabur emas dalam mengurus kecairan kewangan mereka.

“Rakyat Malaysia secara tradisinya melihat emas sebagai aset selamat, namun untuk mendapatkan tunai mereka sering terpaksa menjual emas. Penyelesaian ini membolehkan pelabur membuka nilai pegangan emas tanpa menjejaskan manfaat kenaikan harga jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, menerusi struktur pembiayaan itu, pelanggan boleh mencagarkan Token CGO bagi memperoleh pembiayaan daripada PeerHive, sementara emas asas kekal disimpan dengan selamat dan hak pemilikan benefisial dikekalkan sepanjang tempoh pembiayaan.

Berbeza dengan model pajak gadai atau jual beli semula tradisional yang melibatkan pemindahan hak milik emas secara sementara atau kekal, pendekatan ini membolehkan pelabur mengekalkan hak ke atas aset mereka sepanjang tempoh pembiayaan.

Antara ciri utama penyelesaian itu termasuk penggunaan token bersandarkan emas sebagai cagaran tanpa perlu melupuskan aset, penilaian harga yang telus berdasarkan penanda aras LBMA PM Fix serta kawalan risiko bertaraf institusi seperti had nisbah pinjaman kepada nilai (loan-to-value) dan pemantauan margin.

Kerjasama tersebut turut menyokong inovasi teknologi kewangan (fintech) dalam segmen pembiayaan bersandarkan aset, khususnya emas yang kekal sebagai pilihan simpanan nilai dalam kalangan pelabur runcit.

ComTech Gold menyumbang infrastruktur emas digital serta keupayaan pemerolehan dan penyimpanan emas, manakala PeerHive membawa kepakaran dalam pembiayaan bercagar, penilaian kredit dan struktur pinjaman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PeerHive, Vincent Yeo berkata, kerjasama itu menunjukkan bagaimana pembiayaan bercagar tradisional boleh berkembang untuk memenuhi keperluan pelabur moden.

“Kami menyediakan pembiayaan yang disokong cagaran emas fizikal, iaitu kelas aset yang terbukti kukuh, sambil memanfaatkan teknologi lejar cekap untuk pengurusan cagaran. Ini adalah pembiayaan bersandarkan aset yang diperkasakan oleh infrastruktur operasi moden,” katanya.

Kerjasama tersebut beroperasi di bawah rangka kawal selia Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan perkhidmatan ditawarkan kepada pelabur antarabangsa termasuk di Malaysia, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN