CIMB Group catat untung bersih RM7.9 bilion pada 2025 - Utusan Malaysia

CIMB Group catat untung bersih RM7.9 bilion pada 2025

NOVAN Amirudin (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan dan Strategi Kumpulan CIMB Group, Khairul Rifaie ketika sesi bergambar pada sidang media pembentangan hasil kewangan CIMB Group Holdings Berhad FY25 di Menara CIMB, KL Sentral semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) mencatat keuntungan bersih bernilaiRM7.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 1.7 peratus berbanding RM7.7 bilion pada tahun sebelumnya. 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun kepada RM10.7 bilion, bersamaan pendapatan sesaham (EPS) sebanyak 73.1 sen. 

Sejajar dengan prestasi kewangan kukuh itu, CIMB Group mencadangkan dividen interim kedua sebanyak 20.35 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen tahunan 47.1 sen sesaham.

Ia mewakili jumlah pembayaran dividen rekod sebanyak RM5.1 bilion, mencerminkan komitmen kumpulan untuk terus memberi ganjaran kepada pemegang saham melalui pengurusan modal berdisiplin serta pelaksanaan strategi F30.

Keputusan ini membawa kepada peningkatan pulangan tahunan atas ekuiti purata (ROE) kepada 11.3 peratus naik 10 mata asas tahun ke tahun, didorong oleh pelaksanaan berdisiplin strategi Forward30 (F30) kumpulan, meskipun berdepan cabaran makroekonomi dan penurunan kadar faedah yang berterusan sepanjang tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Novan Amirudin berkata, tahun 2025 menandakan tahun pertama strategi F30 dan CIMB mencatat prestasi kewangan rekod walaupun berdepan cabaran serantau dan global. 

“Kemajuan ini mencerminkan pelaksanaan berwaspada strategi 4C kami, pengagihan semula modal berdisiplin, pengukuhan francais tunai, prestasi jualan silang yang lebih kukuh, serta peningkatan keupayaan untuk menjadi lebih ringkas, lebih baik dan lebih pantas,” katanya dalam pengumuman prestasi kewangan 2025 di sini.

Beliau berkata, kumpulan membuktikan apabila kumpulan kekal setia kepada tujuan memajukan pelanggan dan masyarakat, kami mampu mencapai daya tahan dan pertumbuhan. 

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus membina CIMB yang lebih kukuh dan mampan berkhidmat dengan integriti, berkembang dengan berani, serta mencipta nilai mampan jangka panjang untuk pemegang saham dan komuniti yang kami santuni,” katanya.

Menurut beliau, tahun kewangan 2025 menandakan tahun pertama dalam pelan hala tuju F30 selama enam tahun kumpulan. 

“Kumpulan melaksanakan F30 secara berdisiplin dan berwaspada, dengan fokus kepada peningkatan berterusan ROE bagi menjana nilai mampan jangka panjang kepada pemegang saham. 

“Disokong pertumbuhan kukuh dalam metrik utama, F30 berada di landasan yang tepat, diterjemahkan kepada hasil nyata berasaskan pengagihan semula modal, pengukuhan francais tunai, jualan silang produk serta peningkatan keupayaan digital dan teknologi,” katanya. 

CIMB terus mengagihkan semula dan mengoptimumkan modal serta sumber secara proaktif merentasi pasaran utamanya, mencatat pertumbuhan aset 6.1 peratus berasaskan mata wang tetap, sambil menyalurkan lebih banyak modal ke Malaysia yang menunjukkan kestabilan relatif berbanding pasaran lain. 

“Ini menyumbang kepada peningkatan sumbangan PBT Malaysia daripada 57 peratus kepada 61 peratus tahun ke tahun dalam tahun kewangan 2025,” katanya. 

Dari segi kecairan, jumlah deposit keseluruhan dan baki akaun semasa serta simpanan (CASA) masing-masing berkembang 5.4 peratus dan 1.6 peratus tahun ke tahun kepada RM524.4 bilion dan RM224.1 bilion berasaskan mata wang tetap.

Asas pendanaan yang stabil itu menyokong pengurangan kos dana sebanyak 21 mata asas, sekali gus mengehadkan penyusutan margin pendapatan bersih (NIM) kepada lapan mata asas tahun ke tahun. 

Pendapatan faedah bersih (NII) kekal stabil pada RM15.3 bilion, manakala secara suku ke suku, NIM meningkat dua mata asas kepada 2.10 peratus.

Enjin perniagaan CIMB berkembang dengan pertumbuhan aset 6.1 peratus kepada RM778.7 bilion, manakala pertumbuhan pinjaman adalah 3.1 peratus tahun ke tahun. Nisbah pinjaman kepada deposit pula berada pada 86.4 peratus.

Pendapatan operasi meningkat 0.7 peratus tahun ke tahun kepada RM22.5 bilion, disumbang terutamanya oleh pendapatan bukan faedah (NOII) sebanyak RM7.1 bilion, naik 3.1 peratus. Nisbah NOII berada pada 31.7 peratus, disokong pertumbuhan francais pelanggan perbendaharaan sebanyak 7.2 peratus serta pendapatan fi dan komisen yang meningkat 3.2 peratus.

Aset di bawah pengurusan kekayaan (AUM) pula berkembang 9.2 peratus kepada RM353 bilion.

CIMB turut menduduki tempat pertama dalam Pasaran Modal Hutang di Malaysia dengan pegangan pasaran 32.5 peratus serta 15.3 peratus di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN