Bursa Malaysia diunjur pada 1,740 hingga 1,750 minggu ini - Utusan Malaysia

Bursa Malaysia diunjur pada 1,740 hingga 1,750 minggu ini

GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan sekitar 1,740 hingga 1,750 minggu ini didorong sentimen pasaran terus dipacu oleh perkembangan positif pasaran global, khususnya komitmen syarikat teknologi gergasi.

Ini termasuk Alphabet, Microsoft dan Nvidia untuk meningkatkan perbelanjaan modal dalam pembangunan infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI).

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sektor teknologi dan pembangunan pusat data yang semakin sinonim dengan Malaysia telah meningkatkan minat pelabur terhadap saham tempatan, sekali gus menyokong pergerakan indeks utama.

“Data menunjukkan bahawa antara 6 hingga 9 Februari 2026, pelabur asing mencatatkan belian bersih berjumlah RM132.26 juta dan RM135.78 juta, yang membantu menyokong FBM KLCI serta indeks-indeks lain.

“Prestasi ekonomi domestik yang kukuh menjadi faktor sokongan tambahan kepada pasaran saham. Indeks Pengeluaran Industri (IPI) Malaysia mencatat pertumbuhan 4.8 peratus pada Disember 2025, melepasi jangkaan penganalisis dan menyokong prospek pertumbuhan ekonomi bagi 2026.

“Sehubungan itu, gabungan aliran masuk dana asing, perkembangan sektor teknologi serta data ekonomi yang memberangsangkan dijangka terus menyokong prestasi Bursa Malaysia sepanjang tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas mengenai jangkaan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) sehingga 15 peratus, beliau menyifatkannya sebagai tidak realistik, memandangkan purata pertumbuhan jangka panjang negara itu hanyalah sekitar 1.8 peratus setahun.

Katanya, kekangan utama kepada pertumbuhan tersebut berpunca daripada faktor pengeluaran, khususnya kekurangan tenaga buruh. 

“Situasi ini semakin ketara apabila AS berdepan dengan fenomena populasi menua, yang mengehadkan penyertaan tenaga kerja domestik dalam jangka panjang.

“Selain itu, dasar imigresen yang lebih ketat, termasuk penghantaran pulang pendatang secara besar-besaran, dilihat berpotensi menjejaskan lagi keupayaan ekonomi AS untuk menjana pertumbuhan yang mampan. Ini boleh mengurangkan bekalan buruh, terutamanya dalam sektor-sektor yang sangat bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Jelas beliau, kebergantungan AS terhadap tenaga buruh asing adalah signifikan dan memainkan peranan penting dalam menyokong produktiviti serta pertumbuhan ekonomi negara itu. 

“Tanpa pembaharuan struktur dan dasar buruh yang lebih inklusif, sasaran pertumbuhan tinggi dilihat sukar dicapai dalam tempoh sederhana dan panjang,” katanya. 

Semalam, Presiden AS,  Donald Trump berkata, calon pilihannya untuk mengetuai Rizab Persekutuan (Fed) mampu merangsang ekonomi AS untuk berkembang pada kadar 15 peratus, satu sasaran yang amat optimistik namun mencerminkan tekanan besar yang bakal dihadapi Kevin Warsh sekiranya beliau disahkan memegang jawatan tersebut.

Trump, dalam temu bual bersama Fox Business berkata, Warsh merupakan calon “naib johan” dalam proses pemilihan sebelum ini dan mengakui bahawa pelantikan Pengerusi Fed semasa, Jerome Powell, adalah satu kesilapan besar.

Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, Bursa Malaysia menunjukkan prestasi stabil dengan purata pergerakan mingguan dalam julat 1,730 hingga 1,760 mata, mencerminkan kesinambungan aliran menaik pasaran ekuiti tempatan.

Menurut beliau, asas ekonomi domestik yang kukuh serta keyakinan pelabur institusi dan runcit terus menjadi pemacu utama kepada prospek jangka sederhana hingga panjang pasaran saham tempatan.

Pensyarah Kanan, Sekolah Perakaunan dan Kewangan Sekolah Perniagaan Taylor, Fakulti Perniagaan dan Undang-undang, Universiti Taylor, Dr. Paul Anthony Maria Das pula berkata, ringgit kekal kukuh minggu ini, disokong oleh kelemahan dolar AS serta keyakinan berterusan terhadap asas makroekonomi Malaysia, khususnya pertumbuhan yang stabil dan kadar inflasi yang masih terkawal. 

“Faktor-faktor ini terus memberikan sokongan kepada prestasi mata wang tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Bursa Malaysia bergerak mendatar dengan kecenderungan sedikit positif apabila pelabur kekal berhati-hati dan selektif. 

“Sentimen pasaran dipengaruhi oleh keseimbangan antara data ekonomi domestik yang memberangsangkan dan ketidaktentuan global, khususnya berkaitan hala tuju kadar faedah AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN