PETALING JAYA: BEDI Berhad, dahulunya dikenali sebagai WMG Holdings Bhd. merancang untuk melupuskan sebuah bangunan pasar raya besar dua tingkat di Sandakan, Sabah kepada Mydin Wholesale Cash and Carry Sdn. Bhd. (MWCC) pada harga RM85 juta.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, BEDI berkata, hartanah yang terletak di Lot 3A, Sejati Commercial itu dimiliki oleh Asterasia Sdn. Bhd. (ASB), anak syarikat tidak langsung milik penuh BEDI.
Katanya, premis berkenaan kini menempatkan operasi pasar raya besar Mydin dan tertakluk kepada perjanjian pajakan selama 20 tahun bermula 24 Mei 2019 antara ASB dan Mydin Mohamed Holdings Bhd.
“Harga pelupusan dipersetujui berasaskan prinsip pembeli sanggup dan penjual sanggup selepas rundingan antara pihak-pihak, dengan mengambil kira nilai pasaran hartanah sebanyak RM91 juta seperti yang ditaksir oleh penilai bebas.
“Harga RM85 juta itu mewakili diskaun kira-kira 6.59 peratus daripada nilai pasaran,” katanya
BEDI berkata, kumpulan dijangka merekodkan keuntungan bersih pro forma sekitar RM22.10 juta daripada transaksi tersebut.
“Daripada hasil pelupusan, kira-kira RM35.11 juta akan digunakan untuk melangsaikan sepenuhnya kemudahan pembiayaan berjangka dengan OCBC Al-Amin Bank Berhad, sekali gus mengurangkan tahap penggearan kumpulan.
“Pelupusan ini merupakan sebahagian daripada usaha merasionalisasikan aset dan memperkukuh kedudukan kewangan, di samping menyalurkan semula modal kepada peluang pembangunan hartanah baharu serta pengembangan perniagaan di Borneo,” jelasnya.
Tambahnya, cadangan pelupusan dijangka disempurnakan pada separuh pertama 2026, tertakluk kepada pematuhan terma dan syarat perjanjian jual beli serta kelulusan berkaitan. – UTUSAN










