Westports berpotensi catat keputusan kewangan lebih baik - Utusan Malaysia

Westports berpotensi catat keputusan kewangan lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Westports Holdings Bhd. berpotensi mencatat keputusan kewangan lebih baik bagi suku keempat tahun kewangan 2025 berikutan volum kontena yang kukuh dan penggunaan kawasan simpanan kontena yang tinggi, menurut Maybank Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya telah membuat lawatan tapak pada 15 Januari 2026 dan mendapat gambaran positif terhadap operasi pelabuhan utama di Pelabuhan Klang itu.

“Volum kontena, baik secara tahun ke tahun dan suku ke suku , menunjukkan kekuatan dengan jumlah 11.3 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) yang dikendalikan bagi keseluruhan tahun kewangan 2025, iaitu peningkatan 3 peratus tahun ke tahun.

“Untuk suku keempat 2025 sahaja, pengendalian dicatatkan pada 2.9 juta TEU, meningkat satu peratus tahun ke tahun dan satu peratus suku ke suku. 

“Pada Disember 2025, kawasan simpana kontena Westports mencecah lebih 100 peratus kerana banyak kontena diturunkan dari kapal. Walaupun caj simpanan telah dinaikkan sehingga tiga kali ganda selepas tempoh percuma, ia tetap sesak.

“Caj penyimpanan yang lebih tinggi boleh menyumbang kepada hasil dan pendapatan yang lebih baik bagi suku keempat berbanding unjuran asal kami,” katanya dalam nota penyelidikan. 

Penggunaan kawasan simpanan kontena kini dilaporkan menurun kepada kurang 90 peratus sejak awal Januari 2026, dengan jumlah kapal menunggu untuk diproses turun hanya sekitar 10 kapal sahaja berbanding 50 pada waktu puncak.

Maybank IB berkata, Westports mendapat permintaan yang sangat tinggi dengan sekitar 50,000 hingga 100,000 kontena terpaksa ditangguhkan atau dihantar ke tempat lain sementara waktu.

“Ini menunjukkan bahawa permintaan untuk menggunakan pelabuhan lebih banyak daripada kapasiti kawasan simpanan kontena sedia ada.

Bagi mengatasi isu kesesakan pada masa depan, Westports sedang memperluaskan kapasiti kawasan simpanan kontena dengan menambah sehingga 250,000 hingga 300,000 TEU kapasiti tahunan melalui penukaran kawasan sedia ada.

Bahagian pertama sebanyak 140,000 TEU dijangka siap antara April dan Mei 2025, dengan kemungkinan meningkat kepada 200,000 TEU bergantung kepada tempoh penyimpanan.

Maybank IB juga berpandangan kenaikan tarif pelabuhan sebanyak 10 peratus di bawah Fasa 2 yang berkuat kuasa pada Januari 2026 akan menyumbang kepada pendapatan Westports dan memberikan kejelasan lebih kepada pasaran tentang prospek pendapatan syarikat.

Sebilangan besar kontrak Westports berakhir pada Disember 2025, dan pembaharuan kontrak baru dijangka tertakluk kepada siling kenaikan tarif sebanyak 25 peratus berbanding kadar pada suku pertama 2025.

Bagi unjuran kewangan, Maybank IB mengekalkan ramalan pendapatan Westports bagi tahun kewangan 2025 pada RM2,524.1 juta, meningkat kepada sekitar RM2,861.9 juta untuk anggaran tahun kewangan 2026 dan RM3,063.2 juta untuk anggaran tahun kewangan 2027.

“Pendapatan bersih teras dilihat meningkat daripada RM979.6 juta pada 2025E kepada RM1,202.6 juta pada 2026E dan RM1,305 juta pada anggaran tahun kewangan 2027,” katanya.

Maybank IB menetapkan harga sasaran saham Westports pada RM6.73 dan mengekalkan saranan Beli, menunjukkan keyakinan mereka terhadap prospek syarikat dalam tempoh akan datang.

Selain itu, projek pembangunan Westports 2 masih berjalan mengikut jadual dengan sejumlah tanah terminal sedang ditambak dan dirancang dibina untuk meningkatkan kapasiti masa depan.

Secara keseluruhannya, Maybank IB melihat Westports berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan pertumbuhan melalui pengurusan kesesakan kawasan simpanan kontena, peningkatan tarif dan pengembangan kapasiti, yang boleh menyokong pendapatan lebih kukuh dari tahun ke tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN