PETALING JAYA: TRC Synergy Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Trans Resources Corporation Sdn. Bhd. (TRC) memperoleh projek baharu bernilai RM249 juta melibatkan pembinaan kompleks bangunan di Putrajaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan TRC telah menerima surat anugerah daripada Gilang Cendana Sdn. Bhd. pada 12 Januari 2026 bagi melaksanakan cadangan reka bentuk, pembinaan dan penyiapan kompleks bangunan baharu di Lot 45, Presint 5, Wilayah Persekutuan Putrajaya.
Projek tersebut merangkumi pembinaan gudang dan blok pejabat, blok pameran, tempat letak kereta sub-bawah tanah serta kerja-kerja berkaitan.
Menurut TRC Synergy, projek berkenaan tidak akan memberi kesan terhadap modal saham terbitan dan berbayar, pegangan saham pemegang saham utama, aset bersih sesaham serta tahap gearing syarikat dan kumpulannya.
Lembaga pengarah berpandangan, tertakluk kepada tiada sebarang keadaan luar jangka, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta pendapatan sesaham kumpulan pada masa hadapan.
“Tiada pengarah syarikat, pemegang saham utama atau individu yang mempunyai hubungan dengan pengarah dan pemegang saham utama mempunyai sebarang kepentingan dalam projek ini,” katanya.
Sehubungan itu, lembaga pengarah berpendapat penerimaan projek berkenaan adalah selaras dan demi kepentingan terbaik Kumpulan TRC, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam sektor pembinaan dan kejuruteraan awam. – UTUSAN










