PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB), Electricite Du Laos (EDL) dan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT) hari ini menandatangani Energy Wheeling Agreement Fasa 2 (EWA Fasa 2) di bawah Projek Integrasi Kuasa Lao PDR-Thailand-Malaysia-Singapore Fasa 2 (LTMS-PIP 2.0).
Menurut kenyataan bersama, perjanjian tersebut bagi memudah cara pembekalan tenaga boleh baharu sehingga 100 megawatt (MW) dari Lao PDR ke Singapura, dengan Thailand dan Malaysia bertindak sebagai penghantar tenaga (energy wheeler).
Katanya, EWA Fasa 2 akan terus memperkukuh kerjasama tenaga dalam kalangan negara ASEAN sebagaimana digariskan di bawah inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG) serta mempercepatkan agenda peralihan tenaga rantau ini dengan membolehkan integrasi tenaga bersih yang lebih besar di dalam sistem kuasa ASEAN yang saling terhubung.
“Perjanjian terbaharu ini melengkapkan pelaksanaan penuh LTMS-PIP 2.0, meningkatkan jumlah kapasiti dagangan elektrik daripada 100 MW kepada sehingga 200 MW, dengan bekalan tenaga tambahan disalurkan dari Malaysia ke Singapura.
“Perjanjian dua tahun ini membolehkan penjualan, penghantaran dan pembelian elektrik yang dijana di Lao PDR ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan kemudahan rangkaian grid sedia ada di negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Majlis pemeteraian perjanjian ini telah diadakan di ibu pejabat EGAT di Nonthaburi, Thailand dan dihadiri oleh Timbalan Pengarah Urusan EDL, Souksavart Sosouphanh; Gabenor EGAT, Dr. Narin Phoawanich dan Ketua Pegawai Grid TNB, Hasmarizal Hassan.
Majlis turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Thailand, Dr. Prasert Sinsukprasert; Ketua Pengarah Jabatan Dasar, Perancangan, Pembangunan dan Penilaian, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Lao PDR, Santisouk Phimphachanh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Mareena Mahpudz.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Undang-Undang Jabatan Perjanjian EDL, Chittasone Nanthalath; Timbalan Gabenor Operasi Sistem Penghantaran EGAT, Sanay Treekhan dan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pemegang Taruh TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, EWA Fasa 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memajukan agenda APG, memperkukuh tadbir urus pelbagai hala dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Katanya, ini seterusnya mempromosikan perdagangan elektrik rentas sempadan di rantau ini.
“Sebagai pemain utama dalam APG, TNB kekal komited untuk mempertingkatkan keselamatan tenaga serantau sambil menerajui agenda peralihan tenaga. Malaysia telah secara konsisten menyatakan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama tenaga di rantau ini.
“Dalam hal ini, TNB akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam memajukan visi landskap tenaga ASEAN yang saling terhubung dan kukuh,” katanya.
Pada September 2024, TNB telah memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) dengan Keppel Electric Pte. Ltd. bagi membekalkan elektrik ke Singapura di bawah fasa pertama LTMS-PIP 2.0.
EWA Fasa 2 mengukuhkan lagi kerjasama ini dengan menyediakan rangka kerja wheeling yang diperlukan untuk membolehkan penghantaran tenaga boleh baharu merentas sempadan secara selamat, sekali gus mengukuhkan usaha kolektif ASEAN ke arah peralihan tenaga, kelestarian dan daya tahan tenaga jangka panjang. – UTUSAN










