Sijil halal pacu jualan Klana Beach Resort Port Dickson

Sijil halal pacu jualan Klana Beach Resort Port Dickson

KETUA Chef Klana Beach Resort Port Dickson, Chef Sarimah Ghazali menunjukkan menu yang disediakan di hotel itu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Pensijilan halal yang diterima Klana Beach Resort Port Dickson sejak hampir 14 tahun lalu memberi nilai tambah ekonomi apabila menjadi pemangkin utama kepada peningkatan jualan hotel serta pertumbuhan berterusan segmen makanan dan minuman (F&B).

Pemangku Pengurus Hotel, Saliza Salleh berkata, hotel ini memperoleh sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bermula 1 April 2012 dan konsisten mematuhi piawaian halal yang ditetapkan termasuk pembaharuan sijil setiap dua tahun.

“Semua makanan yang disediakan di hotel adalah halal sepenuhnya, berasaskan penggunaan bahan mentah daripada pembekal yang memiliki sijil pengesahan Jakim yang sah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Saliza, setiap bahan mentah dan produk yang digunakan boleh disemak melalui portal rasmi MyHalal Jakim bagi memastikan rantaian bekalan dan produk akhir memenuhi keperluan syariah.

“Pembelian bahan mentah dibuat mengikut keperluan semasa operasi. Sebagai contoh, sepanjang bulan Ramadan, pembelian meningkat sekitar 30 peratus berbanding bulan-bulan lain bagi memenuhi permintaan Bufet Ramadan,” katanya.

Menurut Saliza, pensijilan amat penting dalam memberikan keyakinan kepada pelanggan Islam bahawa penyediaan makanan dan perkhidmatan hotel mematuhi hukum syariah dari peringkat dapur hingga ke penyajian.

“Selain itu, sijil halal membuka peluang pasaran yang lebih luas termasuk pelancong Islam dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Asia Barat serta pasaran antarabangsa lain yang mementingkan status halal dan kebersihan,” katanya.

Saliza berkata, impak pensijilan halal turut diterjemahkan melalui prestasi kewangan yang memberangsangkan.

“Jualan keseluruhan hotel meningkat daripada RM3.2 juta pada 2012 kepada RM4.8 juta pada 2017, iaitu peningkatan RM1.6 juta atau 50 peratus.

“Jualan terus berkembang kepada RM5.0 juta pada 2022 selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka mencecah RM5.5 juta pada 2025.

“Bagi segmen F&B, jualan meningkat daripada RM1.5 juta pada 2012 kepada RM2.1 juta pada 2017, naik RM600,000 atau 40 peratus. Jualan mencatat peningkatan kepada RM2.4 juta pada 2022 dan mencecah RM2.7 juta pada 2025,” katanya.

Saliza berkata, Klana Beach Resort Port Dickson menyasarkan untuk terus mengekalkan kualiti makanan, tahap kebersihan dan pematuhan syariah secara berterusan, di samping mengembangkan pasaran kepada pelanggan bukan Islam yang menitikberatkan aspek kebersihan dan keselamatan makanan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN