PETALING JAYA: Industri pembinaan Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan purata tahunan 4.0 peratus antara 2026 hingga 2029, didorong oleh pelaburan berterusan daripada sektor awam dan swasta dalam perumahan, rantaian bekalan minyak dan gas serta infrastruktur digital.
Pengarah Serantau Linesight bagi Asia Tenggara, Scott Halyday berkata, pasaran pembinaan di seluruh Asia-Pasifik (Apac) memasuki 2026 dalam kedudukan yang lebih seimbang susulan prestasi yang berdaya tahan pada 2025 dengan Asia Tenggara terus menerajui pertumbuhan serantau.
“Pasaran pembinaan Apac telah bangkit dengan kukuh dengan prestasi yang berdaya tahan pada 2025.
“Pertumbuhan dan kestabilan yang berterusan dijangka menjadi tema utama bagi industri pembinaan rantau ini pada 2026, dengan pasaran Asia Tenggara mendahului,” katanya dalam laporan terkini Construction Market Insights oleh Linesight.
Bagaimanapun, beliau berkata, ketegangan perdagangan global dan tekanan tarif, di samping cabaran tenaga kerja dan kos, masih akan menjadi kebimbangan utama bagi kontraktor dan pemaju.
“Di Malaysia, pelaburan berterusan dalam pusat data dan infrastruktur digital dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, di samping permintaan daripada pembangunan kediaman dan rantaian bekalan berkaitan tenaga.
“Di seluruh rantau Apac yang lebih luas, Linesight menjangkakan kebanyakan pasaran pembinaan akan mencatat pertumbuhan tahunan antara 3.0 peratus hingga 6.0 peratus dari 2026 hingga 2029.
“Ia dipacu oleh pelaburan berterusan dalam tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur pengangkutan, serta aset digital seperti pusat data dan kemudahan semikonduktor,” ujarnya.
Halyday berkata, kerjasama akan menjadi faktor kritikal dalam mengurus risiko projek dan kekangan sumber tenaga kerja pada 2026.
“Penglibatan awal dengan pereka bentuk, kontraktor dan rantaian bekalan akan membolehkan keputusan dibuat dengan lebih pantas, kejelasan kos dan jadual yang lebih baik, serta perancangan sumber tenaga kerja yang lebih berkesan.
“Selain itu, projek yang menyelaraskan pihak berkepentingan sejak awal berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mendapatkan bakat, mengurangkan risiko kekurangan sumber dan menyiapkan projek dengan yakin,” katanya.
Di Asia Tenggara, Singapura, Malaysia dan India merupakan antara prestasi terbaik pada 2025, dengan kadar pengembangan dianggarkan masing-masing sebanyak 5.2 peratus, 8.3 peratus dan 7.1 peratus.
Sektor pembinaan Singapura pula diramalkan berkembang pada kadar purata tahunan 4.2 peratus antara 2026 dan 2029, disokong oleh pelaburan infrastruktur pengangkutan dan potensi penambahan kapasiti pusat data.
Sementara itu, di tempat lain, Jepun dijangka mengekalkan pertumbuhan yang lebih sederhana sekitar 1.3 peratus setahun dari 2026 hingga 2029, disokong pelaburan dalam infrastruktur pengangkutan, projek angin luar pesisir dan pusat data yang memfokuskan kecerdasan buatan (AI).
Tambahnya, kesan tarif baharu setakat ini adalah lebih terhad daripada jangkaan awal, dengan harga komoditi secara keseluruhan menunjukkan penurunan sederhana pada 2025.
“Ini walaupun terdapat risiko berterusan daripada kekurangan tenaga kerja mahir, tekanan kos dan gangguan rantaian bekalan,” katanya. – UTUSAN










