Sektor kesihatan swasta kekal berdaya tahan

Sektor kesihatan swasta kekal berdaya tahan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia dijangka kekal berdaya tahan tahun ini, didorong oleh peningkatan intensiti hasil, kes rawatan yang semakin kompleks serta kebangkitan semula pelancongan perubatan, meskipun pertumbuhan jumlah pesakit dilihat sederhana.

Maybank Investment Bank Securities (Maybank IB) berkata, intensiti hasil kini menjadi pemacu utama pendapatan hospital swasta berikutan pertumbuhan kemasukan pesakit dalam yang semakin perlahan sejak suku kedua 2025 akibat tekanan daripada syarikat insurans dan perubahan tingkah laku pesakit yang lebih sensitif kepada harga.

“Pertumbuhan jumlah pesakit mungkin sederhana, namun peningkatan kerumitan kes, kadar penghunian katil yang stabil serta sumbangan pesakit antarabangsa terus menyokong keterlihatan pendapatan sektor ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

Menurut Maybank IB, penangguhan pelaksanaan sistem Diagnosis-Related Group (DRG) ke 2027 memberi kelegaan jangka pendek terhadap kebimbangan tekanan harga, sekali gus membolehkan hospital swasta mengoptimumkan campuran kes dan strategi penetapan harga.

“Dalam jangka panjang, pelaksanaan DRG dijangka dilakukan secara berperingkat dan bermula dengan prosedur kurang kompleks, justeru hospital yang memberi tumpuan kepada rawatan kompleks dijangka lebih terlindung daripada kesan negatif dasar tersebut,” katanya.

Firma penyelidikan turut menegaskan pelancongan perubatan kembali muncul sebagai pemangkin struktur penting kepada pertumbuhan sektor, disokong usaha kerajaan meningkatkan laluan dan kekerapan penerbangan antarabangsa.

“Pesakit asing lazimnya menjana margin sekitar 20 peratus lebih tinggi berbanding pesakit tempatan kerana rawatan yang lebih kompleks dan perkhidmatan tambahan,” katanya.

Maybank IB berkata, IHH Healthcare Berhad muncul sebagai penerima manfaat terbesar susulan pengambilalihan Island Hospital di Pulau Pinang, yang meningkatkan sumbangan pesakit asing kepada 15 peratus hasil IHH Malaysia setakat sembilan bulan 2025, berbanding sekitar enam hingga tujuh peratus sebelum ini.

Sementara itu, KPJ Healthcare Berhad pula dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan domestik serta potensi pelancongan perubatan, khususnya di Johor susulan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

“KPJ berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan pertumbuhan berperingkat pelancongan perubatan, walaupun berdepan risiko kekangan tenaga kerja akibat persaingan dengan hospital di Singapura,” katanya.

Maybank IB mengekalkan pandangan positif terhadap sektor penjagaan kesihatan, dengan IHH sebagai pilihan utama berikutan asas pendapatan yang pelbagai, pemulihan operasi luar negara serta sumbangan kukuh pelancongan perubatan.

“IHH dan KPJ kekal sebagai pemain utama yang berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan trend demografi, peningkatan penyakit tidak berjangkit dan pertumbuhan perbelanjaan kesihatan dalam jangka sederhana hingga panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN