KUALA LUMPUR: SBS Nexus Berhad (SBS Nexus) memulakan penampilan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan harga pembukaan tidak berubah pada 25 sen sesaham dengan jumlah dagangan awal mencecah 5.3 juta saham.
Syarikat pakar penyelesaian penjenamaan dan pemasaran itu berjaya meraih RM30.63 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SBS Nexus Berhad, Wong Chun Mun berkata, syarikat kini telah berkembang dan berubah menjadi penyedia penyelesaian sehenti.
Katanya, syarikat itu berkebolehan dalam menawarkan pelbagai jenis penyelesaian penjenamaan dan pemasaran yang inovatif dengan memanfaatkan ekosistem pemasaran berbilang saluran sejak anak syarikat pertama yang ditubuhkan pada 2003.
“Keutamaan utama syarikat adalah pengembangan perniagaan dan merancang untuk berpindah ke pejabat baharu di sekitar Lembah Klang bagi menampung pertambahan kakitangan.
“Kami bercadang untuk menggunakan RM7.10 juta untuk menubuhkan ibu pejabat baharu untuk menjalankan aktiviti penjenamaan, pemasaran dan promosi untuk mengembangkan lagi perniagaan kumpulan.
“Selain itu, RM6 juta akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman, RM5.04 juta untuk modal kerja dan RM4.50 juta untuk membayar perbelanjaan penyenaraian IPO,” katanya kepada pemberita selepas dagangan sulung syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini.
Ditanya mengenai prestasi harga saham yang rendah, beliau berkata, ia hanya memberi kesan sementara.
“Kami yakin dengan perancangan masa depan dan nilai sebenar syarikat dan memfokuskan kepada pertumbuhan mampan yang akan membuka peluang kepada prestasi saham yang lebih baik,” katanya.
Mengulas mengenai potensi pasaran, Chun Mun berkata, berdasarkan Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas oleh Smith Zander International Sdn Bhd, saiz pasaran penyelesaian penjenamaan luar talian di Malaysia dianggarkan bernilai RM3.30 bilion pada 2024 manakala pasaran penjenamaan digital bernilai RM5.61 bilion.
“Namun, SBS Nexus ketika ini hanya menguasai bahagian pasaran kecil, masing-masing 0.34 peratus dan 0.31 peratus sekali gus membuka ruang pertumbuhan yang signifikan,” katanya.
Dari segi prestasi kewangan, SBS Nexus mencatat pertumbuhan kukuh dengan hasil meningkat daripada RM11.60 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 kepada RM29.92 juta pada 2024.
Keuntungan selepas cukai melonjak daripada RM1.58 juta kepada RM7.60 juta dalam tempoh sama.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, kumpulan merekodkan hasil RM33.63 juta dan keuntungan selepas cukai bernilai RM7.12 juta.
Jelasnya, pada 2024, saiz pasaran penyelesaian penjenamaan digital yang merangkumi pengiklanan digital, media luar rumah digital dan aplikasi mudah alih dan pembangunan laman web direkodkan pada RM5.61 bilion.
“Pelbagai tawaran perkhidmatan yang disediakan bagi memenuhi trend pengguna yang lazim dan permintaan pasaran yang sentiasa berubah dijangka memenuhi permintaan perniagaan yang semakin meningkat terhadap penyelesaian penjenamaan dan pemasaran.
“Kami bersedia dan berkedudukan untuk melayani lebih ramai pelanggan selepas penyenaraian IPO yang mana kami yakin ini akan diterjemahkan kepada prestasi kewangan yang lebih baik untuk SBS Nexus pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN








